Selasa, 28 Februari 2017
 
  • Kemaskini Terakhir:27 Februari 2017
 
lain

Majlis Pengisytiharan Bagan Datuk

DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika mencemar duli menandatangani plak pengisytiharan Daerah Bagan Datuk.

BAGAN DATUK, 9 JANUARI 2017 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mencemar duli hadir ke Dewan Sekolah Menengah Sains Bagan Datoh bagi menyempurnakan Majlis Pengisytiharan Daerah Baharu di Negeri Perak iaitu Bagan Datuk.

Keberangkatan baginda turut diiringi DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Turut berangkat ke majlis pengisytiharan daerah ke-12 Negeri Perak tersebut, DYTM Raja Muda Perak, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa dan DYTM Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Binti Raja Shahar Shah serta keberangkatan DYAM Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Hadir sama, YAB Timbalan Perdana Menteri, merangkap Ahli Parlimen Bagan Datuk, Dato’ Seri DiRaja Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi; YAB Menteri Besar Perak Darul Ridzuan, Dato’ Seri DiRaja Dr Zambry Bin Abd Kadir; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan dan YBhg. Pegawai Daerah Bagan Datuk, Dato’ Hamzah Bin Hussin.

YAB Dato’ Seri DiRaja Dr Zambry Bin Abd Kadir ketika menyampaikan sembah ucapan beliau di majlis tersebut berkata, terdapat sedikit kesulitan dalam soal perancangan serta perlaksanaan, mahupun urusan yang membabitkan rakyat setempat apabila Bagan Datuk yang sebelum ini terletak di Daerah Hilir Perak dengan pusat pentadbirannya terletak di Teluk Intan.

"Ia juga melibatkan tiga kawasan Parlimen dalam Daerah Hilir Perak iaitu Pasir Salak, Teluk Intan, dan Bagan Datuk sendiri. Ini sudah tentunya menjadikan pentadbiran Daerah Hilir Perak dalam konteks pembangunan, berhadapan dengan cabaran pemerataan."

"Justeru dengan perkenan ke bawah duli tuanku mewujudkan daerah baharu Bagan Datuk, diharapkan pemerataan pembangunan dan kecekapan pentadbiran akan dapat dicapai khususnya bagai kawasan dalam daerah Bagan Datuk ini." kata YAB Dato' Seri DiRaja Dr Zambry Bin Abd Kadir.

Di akhir ucapan YAB Menteri Besar Perak, beliau berharap agar pentadbiran daerah Bagan Datuk untuk memastikan beberapa perkara dalam pentadbiran seperti tidak menyisihkan mana-mana pihak dalam merancang pembangunan, memelihara keseimbangan alam dan pembangunan, kebendaan, dan kerohanian dan perkara terakhir yang disentuh oleh YAB Dato’ Seri DiRaja adalah istiqamah dalam melaksanakan tugas serta memelihara amanah, agar dijauhi sebarang kemurkaan Allah.

Pekan Bagan Datuk pada awalnya dikenali dengan nama Sungai Keling atau Pekan Baru yang mula dibuka pada tahun 1896. Menurut sejarah, Bagan Datuk ditemui oleh Tok Kelah seorang perwira yang cekal dalam usahanya membuka sebuah penempatan penduduk yang telah berjaya menaikkan identiti Bagan Datuk.

Daerah Bagan Datuk secara rasmi diwartakan sebagai daerah penuh ke-12 di Perak melalui Warta Kerajaan No.1570 bertarikh 15 Jun 2016 sebelum diisytiharkan sebagai daerah penuh dengan menggunakan ejaan baharu iaitu Bagan Datuk oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 9 Januari 2017.

Majlis Pengisytiharan Bagan Datuk

Keberangkatan tiba DYMM Paduka Seri Sultan Perak ke Sekolah Menengah Sains Bagan Datoh disambut oleh masyarakat setempat.

Majlis Pengisytiharan Bagan Datuk

YAB Timbalan Perdana Menteri bersama YAB Menteri Besar Perak dan Dif-dif kehormat menunggu bagi menyambut keberangkatan tiba DYMM Sultan Perak.

 Majlis Pengisytiharan Bagan Datuk

DYMM Paduka Seri Sultan Perak dibawa melawat ke pameran projek-projek pembangunan yang akan dilaksanakan di Daerah Bagan Datuk.

Majlis Pengisytiharan Bagan Datuk

DYMM Paduka Seri Sultan Perak dan DYMM Raja Permaisuri Perak bergambar bersama-sama dif-dif kehormat bersempena Majlis Pengisytiharan Bagan Datuk.

Sumber : Korporat, SUK Perak.