Sabtu, 27 Mei 2017
 
  • Kemaskini Terakhir:26 Mei 2017
 
lain

Bekalan Air Tidak Mencukupi Bakal Mencetuskan Krisis -DYMM Paduka Seri Sultan Perak

DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyampaikan titah ucapan perasmian di Majlis Perasmian Loji Rawatan Air Kg. Senawar.

14 MAC 2017, KUALA KANGSAR - DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, kekurangan air ialah satu fenomena yang sedang melanda dunia ketika ini.  Rakyat wajib sedar bahawa bekalan air yang tidak mencukupi, bakal mencetuskan krisis, kerana air merupakan keperluan paling asas kehidupan.

“Krisis bekalan air bukan satu fiction atau cerita rekaan.  Malah diramalkan bahawa persaingan dan perebutan mendapatkan sumber air, boleh menjadi punca memungkinkan manusia berperang pada masa akan datang. Satu perlima penduduk dunia, dilaporkan, tidak mendapat akses kepada air yang boleh diminum.” titah DYMM Sultan Perak ketika mencemar duli menyempurnakan Majlis Perasmian Loji Rawatan Air (LRA) Kg. Senawar, Kuala Kangsar.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, dalam usaha mahu meminimumkan bencana daripada risiko yang sedang dihadapi, tindakan secara proaktif, strategik dan terancang perlulah dilakukan dalam 5 perkara iaitu dengan memelihara dan memulihara sumber-sumber air serta kawasan tadahan air, dengan memastikan alam sekitar yang mapan, mengurus sumber air secara bersepadu,  menaik taraf sistem air sedia ada dengan merintis teknologi baru, mempelbagaikan sumber air dengan meneroka sumber-sumber alternatif antaranya, potensi air bawah tanah, air yang dikitari semula (recycle water), serta penuaian air hujan dan mengadakan program pendidikan agar pengguna sedar dan turut mengambil tanggungjawab memelihara sumber air dan tidak melakukan pembaziran.

"Memelihara dan memulihara sumber air serta budaya menggunakan air secara berhemah dan optimum adalah tanggungjawab setiap rakyat.  Rakyat yang selama hari ini dilahirkan dan dibesarkan dalam persekitaran tropika, yang beranggapan bahawa air adalah bahan yang mudah diperoleh, wajib disedarkan akan tanggungjawab menghargai air, tidak melakukan pencemaran terhadap sumber-sumber air, dan dididik tidak membazir." titah DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin .

Turut berangkat ke majlis perasmian tersebut, DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, DYTM Raja Muda Perak, Raja Jaafar Almarhum Raja Muda Musa dan DYTM Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah, DYAM Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Almarhum Sultan Idris A'fifullah Shah dan DYAM Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Titah baginda di majlis perasmian tersebut, program pendidikan tentang nilai dan kepentingan air, serta tanggungjawab bersama untuk memelihara dan memulihara sumber air perlulah disemaikan di dalam keluarga, di bangku sekolah, di tempat bekerja, di kalangan badan-badan bukan kerajaan serta pertubuhan sukarela dan di rumah-rumah ibadat. 

"Mulakan sikap menghargai dan menghormati air, dengan langkah permulaan, tidak lagi membuang sisa buangan dan sampah ke dalam parit, longkang dan sungai.  Langkah tersebut mungkin langkah kecil, tetapi langkah yang besar dan berimpak tinggi, bermula dengan satu langkah kecil yang dilakukan secara beramai-ramai, hingga tersemai satu keinsafan dan satu kesedaran, hingga diperlihatkan sebagai satu amalan harian dan satu budaya di kalangan warga."

Di akhir titah ucapan, DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah turut merakamkan penghargaan kepada YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry bin Abd. Kadir selaku Ketua Kerajaan Negeri merangkap Pengerusi Lembaga Air Perak diatas pembinaan Loji Rawatan Air Kg. Senawar Kuala Kangsar kerana ia adalah langkah bertanggungjawab kerajaan negeri bagi memenuhi keperluan asasi rakyat menikmati bekalan air yang bersih.

Projek pembinaan LRA Kg. Senawar telah dimulakan pada Ogos 2014 dan siap sepenuhnya pada April 2016 dengan kos bernilai RM 46.2 juta.

Projek LRA Kg. Senawar dilaksanakan untuk menambah bekalan air ke Bandar DiRaja Kuala Kangsar dan kawasan sekitar bagi menampung permintaan yang meningkat.

Dengan terlaksananya projek ini, kapasiti pengeluaran air di Bandar DiRaja Kuala Kangsar dan sekitarnya telah meningkat dari 43.0 juta liter sehari kepada 66.0 juta liter sehari. Peningkatan sebanyak 53% dijangka mampu menampung permintaan bekalan air sehingga tahun 2030.

Bekalan Air Tidak Mencukupi Bakal Mencetuskan Krisis -DYMM Paduka Seri Sultan Perak

DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mencemar duli menandatangani buku sempena Majlis Perasmian Loji Rawatan Air Kg. Senawar.

Bekalan Air Tidak Mencukupi Bakal Mencetuskan Krisis -DYMM Paduka Seri Sultan Perak

DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mencemar duli menyempurnakan Majlis Perasmian Loji Rawatan Air Kg. Senawar yang menelan kos RM 46.2 juta.

Bekalan Air Tidak Mencukupi Bakal Mencetuskan Krisis -DYMM Paduka Seri Sultan Perak

DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersama DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim mencemar duli melawat Loji Rawatan Air Kg. Senawar Kuala Kangsar.

Bekalan Air Tidak Mencukupi Bakal Mencetuskan Krisis -DYMM Paduka Seri Sultan Perak

DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersama DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim melihat model Loji Rawatan Air Kg. Senawar Kuala Kangsar.

Sumber : Korporat, SUK Perak.