| English Version | Direktori | Peta-Peta | Hiperrangkai | Suntingan Akhbar | Buku Pelawat |
|
|
| SULTAN YUSUF SHARIFUDDIN MUDZAFFAR SHAH | . |
DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI
SULTAN YUSUF SHARIFUDDIN MUDZAFFAR SHAH
(MARHUM GHARIRULLAH)
SULTAN PERAK YANG KEDUA PULUH TUJUH
(1886-1887)Sultan Yusuf adalah putera Almarhum Sultan Abdullah Muhammad I, Sultan Perak yang ke 22. Semasa Sultan Jaafar, Sultan Perak yang ke-23 mangkat pada tahun 1865, dan juga semasa Sultan Ali, Sultan Perak yang ke-24 mangkat, Baginda telah tidak dipilih menjadi Raja Bendahara walaupun Baginda berhak. Ini disebabkan ramai Raja-raja dan Orang-orang Besar Perak tidak sukakan Baginda.
Pada tahun 1871, Raja Bendahara Ismail telah diangkat menjadi Sultan Perak yang ke-25 tetapi Raja Muda Abdullah yang bersemayam di Batak Rabit telah tidak berpuas hati dengan perlantikan itu. Untuk menguatkan kedudukannya, Raja Muda Perak yang bersemayam di Senggang dan Baginda sendiri mengaku diri Baginda sebagai Sultan Perak yang ke-26, bergelar Sultan Abdullah Muhammad Shah II, Marhum Habibullah.
Pada tahun 1877, Baginda telah berangkat ke Singapura kerana dipanggil oleh Kerajaan British berhubung dengan penyiasatan pembunuhan Birch di Pasir Salak. Raja Yusuf telah diangkat menjadi Pemangku Raja bagi Negeri Perak, dan Baginda telah berpindah ke Sayong, seberang pekan Kuala Kangsar.
Raja Idris Ibni Almarhum Raja Alang Iskandar dibenarkan balik ke Perak dari Singapura untuk membantu mertuanya Raja Yusuf untuk memerintah Negeri Perak. Raja Yusuf diiktiraf menjadi Pemangku raja daripada tahun 1877, manakala Raja Idris pula diangkat menjadi Raja Bendahara Perak.
Berikutan dengan itu, sebuah Majlis Mesyuarat negeri (State Council) yang ahli-ahlinya terdiri daripada Raja Yusuf sebagai yang di-Pertua, Hugh Low- Residen Inggeris, Raja Idris, Dato' Temenggong, Che Karim Selama, Kapitan Chung Keng Kwee - Ketua Kumpulan China Ho Kuan (Hai San), dan Kapitan Chin Ah Yam - (Ghi Hin) telah ditubuhkan.
Persidangan pertama Majlis itu telah diadakan di Kuala Kangsar pada 10hb. September, 1877 bagi merundingkan dasar-dasar Kerajaan Negeri Perak.
Setelah lebih kurang 9 tahun Raja Yusuf menjadi Raja Muda dan Pemangku Raja di Negeri Perak, Baginda pun dilantik menjadi Sultan Perak yang ke-27 bergelar Sultan Yusuf Sharifuddin Mudzaffar Shah pada 7hb. Oktober, 1886 dan bersemayam di Sayong Tebing. Raja Idris pula diangkat menjadi Raja Muda Perak.
Sultan Yusuf memerintah Negeri Perak selama lebih kurang sepuluh bulan sahaja. Baginda mangkat pada bulan Julai, 1887 di Sayong dan digelar "Marhum Gharirullah".
Makam Almarhum Sultan Yusuf Shariffuddin Mudzaffar Shah asalnya terletak di Sayong Tebing tetapi telah dipindahkan ke kawasan Masjid Sayong Tengah, Mukim, Daerah Kuala Kangsar.
Makam Almarhum Sultan Yusuf Sharifuddin Mudzaffar Shah
(Marhum Gharirullah)
Sultan Perak ke-27
![]()
PENAFIAN:
Jabatan ini tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan
yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.
© Hakcipta 2005 Pejabat D.Y.M.M. Sultan Perak Darul Ridzuan.
Sebarang pertanyaan berkenaan laman ini, sila hubungi
pejsultan@sultan.perak.gov.my