Bomba Komuniti Sebagai Benteng Awal Bendung Kebakaran : 23 Februari 2018

Bomba Komuniti Sebagai Benteng Awal Bendung Kebakaran

YB Dato' Seri Abdul Puhat melakukan kawalan kehormat dalam majlis tersebut.

KUALA KURAU, 23 FEBRUARI 2018 - Bomba komuniti perlu memainkan peranan utama dalam mengambil tindakan awal bagi menangani kes pembakaran terbuka yang semakin meningkat di Perak pada musim panas ketika ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM) Perak, YBhg. Dato’ Haji Yahaya Bin Haji Madis berkata, pada musim panas ini, kes pembakaran terbuka di seluruh Negeri Perak meningkat sehingga mencapai tahap minimum 30 hingga 50 kes sehari.

Menurutnya, punca peningkatan kes itu disebabkan tindakan pembakaran secara sengaja oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Bagi mengelakkan kes kebakaran memberi implikasi teruk kepada penduduk setempat, bomba komuniti perlu menjadi benteng awal bagi membendung kebakaran awal di kawasan komuniti masing-masing.

"Mereka boleh mengambil langkah mengawal api daripada menjadi marak lebih awal menggunakan alat pemadam api asas yang dibekalkan.

"Justeru, dengan peningkatan penyertaan ahli bomba komuniti dalam kalangan masyarakat, pembakaran terbuka dapat dibendung segera," ujar beliau pada Program Bomba Bersama Masyarakat dan Kempen Keselamatan Kebakaran Peringkat JBPM Negeri Perak 2018.

Majlis berkenaan dirasmikan YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan dan turut dihadiri Orang Besar Jajahan Kerian, YDH Toh Muda Orang Kaya Kaya Laksamana Raja Mahkota Dato’ Haji Meor Redwan Bin Mahayuddin.

Beliau berkata, sehingga kini, penglibatan bomba komuniti di seluruh Perak sudah melibatkan penubuhan 700 pasukan di mana setiap pasukan disertai 30 ahli.

Menurut beliau, mana-mana ahli masyarakat setempat yang menyertai bomba sukarela bakal diberikan pelbagai latihan dan alat pemadam api asas bagi mereka memahami langkah awal menangani sebarang kejadian kebakaran.

"Dengan peletakan syarat lebih mudah, JBPM Perak menggalakkan lebih ramai masyarakat menyertai bomba komuniti di tempat masing-masing," katanya.

Dalam perkembangan lain, Dato’ Haji Yahaya menegaskan kesemua sekolah tahfiz dan madrasah di seluruh Perak telah diperiksa keseluruhan sistem pencegahan kebakaran 100 peratus.

Tambah beliau, pihak bomba kini sudah memasuki pusingan kedua pemeriksaan terhadap sebahagian sekolah yang tidak memenuhi piawaian ditetapkan sewaktu pemeriksaan kali pertama dibuat.

"Pemeriksaan akan terus dibuat dari semasa ke semasa demi menjaga aspek keselamatan sekolah berkenaan," ujar beliau.

Bomba Komuniti Sebagai Benteng Awal Bendung Kebakaran

YB Dato' Seri Abdul Puhat bersama sebahagian anggota bomba dan masyarakat sekitar yang terbabit dalam majlis itu.

Bomba Komuniti Sebagai Benteng Awal Bendung Kebakaran

YB Dato' Seri Abdul Puhat menyampaikan cenderahati kepada salah seorang peserta.

Bomba Komuniti Sebagai Benteng Awal Bendung Kebakaran

YB Dato' Seri Abdul Puhat menyampaikan hadiah kepada seorang peserta cilik yang hadir.

Bomba Komuniti Sebagai Benteng Awal Bendung Kebakaran

YB Dato' Seri Abdul Puhat menyematkan pangkat kepada salah seorang anggota bomba.

Bomba Komuniti Sebagai Benteng Awal Bendung Kebakaran

Antara kemudahan yang disumbangkan kepada bomba sukarelawan di kawasan itu.

Sumber : Korporat, SUK Perak.