Orang Ramai Dipelawa Beri Cadangan Dalam Draf RSN Perak 2040 : 13 Mac 2018

Orang Ramai Dipelawa Beri Cadangan Dalam Draf RSN Perak 2040

YAB Dato' Seri DiRaja Dr Zambry Bin Abd. Kadir bersama pegawai Plan Malaysia yang bertanggungjawab terhadap Draf RSN 2040.

IPOH, 13 MAC 2018 - Kerajaan Negeri Perak memberi peluang kepada rakyat di negeri ini melontarkan pandangan dan idea konstruktif berkaitan sembilan projek 'flagship' utama yang terkandung dalam Draf Rancangan Struktur Negeri (RSN) Perak 2040.

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr Zambry Bin Abd. Kadir berkata, ia penting bagi memastikan pembangunan dan pertumbuhan yang akan dilaksanakan di bawah draf itu memberi kelebihan dan manfaat untuk masa depan rakyat.

"Dengan adanya draf pembangunan ini, ia akan memberi perspektif baru ke arah membangunkan negeri Perak meliputi aspek ekonomi, kependudukan dan sektor-sektor sosial yang ada di Perak menjelang tahun 2040 nanti. 

"Oleh itu, saya menyeru kepada rakyat jelata supaya memberikan pendapat dan cadangan yang bernas bagi memastikan konsep pembangunan mapan dapat diterjemahkan dalam draf pembangunan ini," ujar beliau selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program dan Publisiti dan Penyertaan Awam Draf RSN Perak 2040.

Draf RSN 2040 yang dilancarkan secara rasmi oleh PLANMalaysia@Perak, meliputi pembinaan Lapangan Terbang Seri Iskandar, Pembangunan Koridor Sungai Perak, Cadangan Pusat Inovasi Negeri Perak, Pembangunan Pelancongan Negeri Perak, Rel Metropolitan Kinta, Pulau Pangkor sebagai Pulau Bebas Cukai, Pewartaan Taman Negeri Geopark Lembah Kinta dan Pulau Sembilan serta Pewartaan Kawasan Penyu Segari.

Turut hadir YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan.

Beliau berkata, draf berkenaan juga akan dipamerkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di setiap daerah kepada umum bermula 13 Mac hingga 17 April depan.

Dalam perkembangan berkaitan, YAB Dato Seri DiRaja Dr Zambry berkata, sebarang bantahan berkaitan draf berkenaan juga boleh dikemukakan kepada pihak PLANMalaysia@Perak jika ia dilihat tidak memberi sebarang impak yang berkesan kepada rakyat.

"Bantahan itu perlu dikemukakan kepada jawatankuasa bantahan yang dibentuk di bawah PLANMalaysia@Perak dan ia perlu dilengkapkan dengan alasan atau justifikasi yang bernas sebelum sebarang tindakan dibuat," kata beliau.

Selain itu, beliau berkata, draf yang digariskan itu tidak bersifat tetap dan berkemungkinan besar berubah mengikut keadaan dan kajian yang dilakukan pelbagai pihak khususnya PLANMalaysia@Perak.

"Ia mungkin tak akan kekal begitu kerana dari semasa ke semasa kita perlu buat kajian dan semakan. Jika perlukan perubahan daripada segi pelaksanaannya, kita akan buat tetapi yang paling penting apa pun kita mesti ada perancangan," ujar beliau.

Orang Ramai Dipelawa Beri Cadangan Dalam Draf RSN Perak 2040

YAB Dato' Seri DiRaja Dr Zambry Bin Abd. Kadir ketika melakukan lawatan dalam pameran yang diadakan Plan Malaysia khusus berkaitan Draf RSN 2040.

Orang Ramai Dipelawa Beri Cadangan Dalam Draf RSN Perak 2040

YAB Menteri Besar tekun meneliti buku yang mengandungi pelbagai informasi berkaitan Draf RSN 2040.

Sumber : Korporat, SUK Perak.