DYMM Sultan Perak Rasmi Kompleks MDPT : 19 Mac 2018

DYMM Sultan Perak Rasmi Kompleks MDPT

DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Kompleks MDPT.

PARIT, 19 MAC 2018 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Kompleks Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT) di Seri Iskandar.

Turut berangkat DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, DYTM Raja Jaafar Raja Muda Musa; DYAM Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Almarhum Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Besar Perak, DYAM Tunku Soraya Almarhum Sultan Abdul Halim.

Keberangkatan baginda diiringi YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd. Kadir; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan dan Yang Dipertua MDPT, Tuan Muhamad Ghopran Yeop Hamzah.

Pada majlis tersebut, DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menandatangani plak sebagai simbolik perasmian serta melawat pameran di galeri Kompleks MDPT.

MDPT yang dahulunya terletak di pekan Parit, telah dipindahkan ke pusat pentadbiran baharu di Kompleks Pentadbiran Daerah Perak Tengah yang turut menempatkan pelbagai agensi lain di Seri Iskandar, pada 23 September 1993.

Setelah hampir 20 tahun beroperasi di situ, MDPT membina bangunannya sendiri dan kini diberi nama Kompleks MDPT.

Kawasan pentadbiran di bawah MDPT adalah seluas 43,615 hektar merangkumi Parit, Simpang Tiga Buluh Akar, Tanjung Belanja, Bota, Seri Iskandar, Titi Gantung, Kampung Gajah dan Felcra Seberang Perak.

Sementara itu, YB Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belanja, Dato’ Drs. Mohd. Nizar Zakaria ketika berucap pada majlis tersebut berkata, Kompleks MDPT bernilai RM9.4 juta itu menempatkan enam jabatan serta memiliki kemudahan seperti dewan mesyuarat, surau, galeri dan kaunter pandu lalu.

Beliau berkata, pembinaan Kompleks MDPT bukan sahaja memberikan keselesaan kepada penduduk setempat untuk menjalankan pelbagai urusan, malah menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam melaksanakan sistem penyampaian berkualiti.

“Pada 2016, MDPT dianugerahkan Sijil Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) sekali gus menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Perak dan kelima memperoleh sijil tersebut,” ujar beliau.

DYMM Sultan Perak Rasmi Kompleks MDPT

YAB Menteri Besar Perak serta YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak bergambar bersama tetamu-tetamu kehormat.

DYMM Sultan Perak Rasmi Kompleks MDPT

YB Dato' Drs Mohd Nizar Bin Zakaria ketika berucap dalam majlis berkenaan.

DYMM Sultan Perak Rasmi Kompleks MDPT

DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah beramah mesra dengan tetamu yang hadir dalam majlis tersebut.

DYMM Sultan Perak Rasmi Kompleks MDPT

DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mendengar penerangan berkaitan MDPT daripada salah seorang kakitangannya.

DYMM Sultan Perak Rasmi Kompleks MDPT

DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersama kakitangan MDPT yang terbabit dalam menjayakan majlis berkenaan.

Sumber : Korporat, SUK Perak.