Penjawat Awam Perlu Timba Ilmu Walaupun Telah Bersara : 19 Mac 2018

Penjawat Awam Perlu Timba Ilmu Walaupun Telah Bersara

YAB Menteri Besar ketika berucap dalam majlis yang berlangsung.

IPOH, 19 MAC 2018 - YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd Kadir meminta pesara kerajaan di negeri ini supaya terus menimba ilmu yang berguna meskipun telah menamatkan perkhidmatan dalam sektor awam.

Beliau berkata, ia penting demi memastikan tahap kemajuan diri dapat terus ditingkatkan sekali gus memberi nilai tambah dalam kehidupan seharian.

"Jangan anggap bila sudah bersara ini, habis semua “suis” ditutupkan ibarat sudah penghujung hidup.

"Hidup kita ini bukan begitu, kita ada pelbagai lagi tahap teruskan belajar mencari ilmu-ilmu dalam hidup ini, lakukan sesuatu untuk menyumbang kepada masyarakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Jasamu Dikenang Tahun 2018.

Turut hadir YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan.

Tambah beliau, ilmu agama antara contoh yang boleh dipraktikkan dalam kehidupan seharian kerana ia membantu mengekalkan tahap kesihatan badan pada tahap terbaik.

"Dalam Islam juga kita disuruh belajar, tuntutlah ilmu dari buaian sehingga ke liang lahad, jadi cari ilmu agama serta ilmu-ilmu lain jadikan ia sebagai satu dorongan kita," ujar beliau.

Seramai 243 pesara menerima insentif berjumlah RM3,000 seorang daripada kerajaan negeri.

Menurut beliau, ia diberikan sebagai tanda menghargai jasa dan sumbangan mereka ketika berkhidmat dalam perkhidmatan awam.

"Mereka yang diraikan terdiri daripada 152 orang pesara Jabatan Negeri, 101 pesara Pihak Berkuasa Tempatan dan 34 pesara dari Badan berkanun.

"Daripada jumlah itu 243 pesara telah layak menerima insentif kerajaan negeri Perak berjumlah RM3,000 setiap seorang," katanya.

Penjawat Awam Perlu Timba Ilmu Walaupun Telah Bersara

YAB Menteri Besar Perak beramah mesra dengan pesara yang diraikan dalam majlis tersebut.

Penjawat Awam Perlu Timba Ilmu Walaupun Telah Bersara

YAB Menteri Besar Perak menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang pesara yang menghadiri majlis berkenaan.

Penjawat Awam Perlu Timba Ilmu Walaupun Telah Bersara

YAB Dato' Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd Kadir menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang pesara dalam majlis tersebut.

Penjawat Awam Perlu Timba Ilmu Walaupun Telah Bersara

YAB Dato' Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd Kadir menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang penerima dalam majlis tersebut.

Sumber : Korporat, SUK Perak.