Bantuan Persekolahan Diagih Sama Adil Kepada Semua Jenis Sekolah : 1 April 2018

Bantuan Persekolahan Diagih Sama Adil Kepada Semua Jenis Sekolah

YB Dato' Seri Mahdzir berucap dalam majlis tersebut.

PARIT BUNTAR, 1 APRIL 2018 - Sejak tahun 2010, kerajaan sentiasa memastikan bantuan persekolahan kepada semua jenis aliran sekolah di negara ini, disalurkan secara adil tanpa berlaku sebarang unsur ‘pilih kasih’.

YB Menteri Pendidikan, Dato’ Seri Mahdzir Bin Khalid berkata, dakwaan bahawa kerajaan mengetepikan kepentingan sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil selama ini tidak tepat kerana kesemua sekolah jenis itu menerima peruntukan RM50 juta setiap tahun.

Menurutnya, peruntukan itu diagihkan dengan nilai amaun sama dengan sekolah agama rakyat, sekolah masyarakat Orang Asli, sekolah mubaligh dan sekolah-sekolah lain di seluruh negara.

Sebagai contoh, sejak tahun 2010, kerajaan di bawah pimpinan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abd Razak membelanjakan peruntukan besar dari aspek penyelenggaraan, baik pulih dan bina baharu sekolah jenis kebangsaan (SJK) Tamil di seluruh mencapai lebih RM900 juta.

“Sebenarnya YAB Perdana Menteri meletakkan keutamaan besar dalam bidang pendidikan negara tanpa mengira bangsa, agama dan warna kulit.

“Justeru, saya fikir hala tuju pendidikan negara sebenarnya lebih terjamin dan berwawasan jauh dengan penyediaan ‘roadmap’ pendidikan negara disediakan kerajaan ketika ini,” ujar beliau kepada media selepas merasmikan Program Jelajah Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia 2018, di Mydin Mall Parit Buntar di sini.

Hadir sama YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan.

Beliau berkata, sebagai contoh, Kementerian Pendidikan kini sedang berusaha mempertingkatkan kebolehcapaian Internet di sekolah-sekolah luar bandar daripada capaian 5 megabait sesaat kepada 10 megabait sesaat atau lebih daripada itu.

Menyedari pentingnya penyediaan capaian Internet yang kondusif kepada pelajar dan guru sekolah, beliau menegaskan sejumlah lebih 10,000 sekolah yang kini dalam perhatian pihaknya bagi dipertingkatkan perkhidmatan itu.

Bantuan Persekolahan Diagih Sama Adil Kepada Semua Jenis Sekolah

YB Dato' Seri Mahdzir beramah mesra dengan salah seorang pelajar yang terbabit dalam program tersebut.

Bantuan Persekolahan Diagih Sama Adil Kepada Semua Jenis Sekolah

YB Dato' Seri Mahdzir beramah mesra dengan YB Dato' Seri Abdul Puhat dalam program terbabit.

Bantuan Persekolahan Diagih Sama Adil Kepada Semua Jenis Sekolah

YB Dato' Seri Mahdzir bersama pelajar-pelajar sekolah yang terbabit dalam program tersebut.

Bantuan Persekolahan Diagih Sama Adil Kepada Semua Jenis Sekolah

YB Menteri Pendidikan dan YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak antara tetamu kehormat yang hadir dalam majlis tersebut.

Bantuan Persekolahan Diagih Sama Adil Kepada Semua Jenis Sekolah

YB Menteri Pendidikan ketika melakukan lawatan dalam program berkenaan.

Sumber : Korporat, SUK Perak.