Penjawat Awam Perlu Ikut Garis Panduan Jabatan Perkhidmatan Awam : 3 April 2018

Penjawat Awam Perlu Ikut Garis Panduan Jabatan Perkhidmatan Awam

YAB Menteri Besar Perak bersama sebahagian kakitangan awam yang menyertai Wacana TN50.

IPOH, 3 APRIL - Penjawat awam yang berkemungkinan dicalonkan sebagai wakil rakyat oleh mana-mana parti pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) perlu meletakkan jawatan sepertimana termaktub dalam garis panduan ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Awam.

YBhg. Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Zainal Rahim Bin Seman berkata, ia merupakan satu prosedur biasa dan terserah kepada penjawat awam berkenaan untuk menilai selain membuat keputusan muktamad berhubung perkara tersebut.

“Jika calon itu dipilih untuk bertanding, bertandinglah tapi kalau masih dalam perkhidmatan kena ‘tender’ kan jawatan yang dipegang. Seperti mana prosedur biasa.

“Sokong atau tidak itu perkara yang membabitkan peribadi individu. Dia rasa nak jadi anggota pentadbiran mewakili sesebuah parti politik, itu terserah kepada pendirian masing-masing,” ujar beliau pada sidang media selepas menghadiri Wacana Transformasi Nasional 2050 (TN50) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, semalam.

Terdahulu, wacana yang dihadiri lebih 1000 penjawat awam seluruh Perak itu menampilkan YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abdul Kadir dan YBhg. Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Haji Azih Bin Muda selaku tetamu khas.

Beliau berkata, pihaknya berharap penjawat awam yang terpilih menjadi calon nanti akan berusaha bersungguh-sungguh selain menampilkan perkhidmatan dan kualiti terbaik untuk kesejahteraan rakyat.

“Penjawat awam adalah aset negara dan mereka mesti ada kualiti tertentu. Kalau dia sahaja yang minat, tapi orang lain tak minat (sokong) susah juga,” kata beliau.

Sementara itu, Datuk Haji Azih berkata, pihaknya menyokong mana-mana penjawat awam diangkat untuk menjadi calon pada PRU14.

Katanya, ia bukan satu kekangan malah penjawat awam dilihat sebagai antara individu yang berkebolehan untuk menjadi tonggak negara khususnya selaku wakil rakyat dan penggubal undang-undang.

“Tahniah saya ucapkan kepada mereka dan saya fikir mereka yang akan dipilih nanti akan berusaha bersungguh-sungguh untuk membawa negara dan rakyat ke tahap yang lebih baik,” ujar beliau.

Penjawat Awam Perlu Ikut Garis Panduan Jabatan Perkhidmatan Awam

YAB Menteri Besar Perak beramah mesra dengan penjawat awam yang hadir dalam Wacana TN50 tersebut.

Penjawat Awam Perlu Ikut Garis Panduan Jabatan Perkhidmatan Awam

YAB Dato' Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd Kadir bersama kakitangan CUEPACS yang hadir dalam Wacana TN50 itu.

Penjawat Awam Perlu Ikut Garis Panduan Jabatan Perkhidmatan Awam

YAB Menteri Besar Perak ketika menyampaikan ucapan dalam wacana TN50.

Penjawat Awam Perlu Ikut Garis Panduan Jabatan Perkhidmatan Awam

YBhg. Datuk Haji Azih sedang menyampaikan ucapan dalam wacana berkenaan.

Penjawat Awam Perlu Ikut Garis Panduan Jabatan Perkhidmatan Awam

YBhg. Tan Sri Zainal Rahim menyampaikan ucapan selaku tetamu kehormat dalam wacana TN50.

Sumber : Korporat, SUK Perak.