Pekan Kecil Dataran Amanjaya: Kreatif Memacu Pembangunan : 1 Mei 2018

Pekan Kecil Dataran Amanjaya: Kreatif Memacu Pembangunan

YAB Menteri Besar Perak berucap memperkenalkan tetamu yang hadir pada program tersebut.

PARIT BUNTAR, 1 MEI 2018 - Idea pembangunan Pekan Kecil Dataran Amanjaya dirancang kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) sejak tahun 2013 diiktiraf pihak antarabangsa sebagai kreatif bagi memacu pembangunan mampan.

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr Zambry Bin Abdul Kadir berkata, idea itu tercetus melalui inisiatif berterusan kerajaan negeri menganjurkan persidangan ilmu seperti Pangkor International Development Dialogue (PIDD) yang disertakan penglibatan negara luar.

Menurut beliau, hasil persidangan ilmu itu membolehkan kerajaan negeri mencetuskan idea pembangunan pekan kecil berdasarkan pendekatan pengagihan konsep pembangunan secara adil.

“Idea pembangunan itu diberi penilaian tinggi oleh beberapa universiti dan badan penilaian antarabangsa dan berkat daripada inisiatif perlaksanaannya, salah seorang Exco kerajaan negeri kita (Dato’ Mohammad Zahir Bin Abdul Khalid) menerima pengiktirafan antarabangsa.

“Mereka melihat kerajaan kreatif merencana idea ini di mana bagi setiap kawasan di seluruh Negeri Perak terutama di kawasan luar bandar kurang membangun, idea ini menjadi pemangkin kepada pembangunan menyeluruh kawasan tersebut,” ujar beliau kepada pemberita pada majlis perasmian Dataran Amanjaya Simpang Lima.

Beliau berkata, pembangunan pekan kecil Amanjaya ini turut memberi ruang bagi pembangunan usahawan khususnya bumiputera serta masyarakat tempatan bagi menjalankan perniagaan di kawasan tersusun dan teratur.

Tegas beliau, selain menjadi pemangkin merangsang ekonomi setempat, pekan kecil turut membina asas kepada pembangunan infrastruktur fizikal dan meningkatkan interaksi masyarakat kawasan itu.

“Paling penting, idea pekan kecil dapat menukar landskap asal pekan terbabit kepada moden, kemas dan terancang di samping memberi identiti wajah baharu.

“Pembangunan pekan kecil juga dijangka mewujudkan integrasi pusat komersil berdaya saing dengan memberi persekitaran kondusif kepada para peniaga dan memberi kemudahan selesa kepada masyarakat,” kata beliau.

Selain itu, YAB Menteri Besar berkata, idea pembangunan pekan kecil akhirnya berkembang di seluruh Perak dan kerajaan negeri sudah membina 14 pekan kecil sehingga kini.

Kata beliau, setiap projek dibangunkan dengan kos sekitar dua hingga tiga juta, bergantung kepada kedudukan lokasi dipilih dan perancangan ini merupakan sumbangan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).

“Kita hendakkan mereka memainkan peranan membangun di kawasan pinggiran bandar dan kerajaan negeri akan terus membina projek pekan kecil di tempat-tempat difikirkan perlu,” katanya.

Pekan Kecil Dataran Amanjaya: Kreatif Memacu Pembangunan

YAB Dato' Seri DiRaja Dr Zambry Bin Abd Kadir merasmikan program terbabit.

Pekan Kecil Dataran Amanjaya: Kreatif Memacu Pembangunan

YAB Menteri Besar Perak bersama peniaga dan pihak yang bertanggungjawab dalam penganjuran program tersebut.

Pekan Kecil Dataran Amanjaya: Kreatif Memacu Pembangunan

YAB Dato' Seri DiRaja Dr Zambry Bin Abd Kadir meninjau kedai yang beroperasi di Pekan Kecil Dataran Amanjaya.

Pekan Kecil Dataran Amanjaya: Kreatif Memacu Pembangunan

YAB Menteri Besar Perak beramah mesra dengan peniaga yang menjual barangan di kawasan tersebut.

Pekan Kecil Dataran Amanjaya: Kreatif Memacu Pembangunan

YAB Menteri Besar Perak bersama tetamu kehormat yang hadir dalam program tersebut.

Sumber : Korporat, SUK Perak.