Kerjasama Penjawat Awam Bentuk Persefahaman Kerajaan Negeri : 15 Mei 2018

Kerjasama Penjawat Awam Bentuk Persefahaman Kerajaan Negeri

YAB Menteri Besar ketika berucap dalam majlis terbabit.

IPOH, 15 MEI 2018 - Setiap penjawat awam negeri perlu bekerjasama dengan semua pihak termasuk pelaksana bagi memastikan pentadbiran baru yang dikelola kerajaan negeri dapat bergerak secara efisien.

Menteri Besar Perak, YAB Ahmad Faizal Azumu berkata, ini kerana kedua-dua pihak menjadi tulang belakang kepada hasil dan mutu produk sesebuah organisasi.

“Oleh sebab itu, saya sentiasa mahu kerjasama di antara setiap jabatan yang ada ini dapat diteruskan di antara jabatan negeri dan persekutuan.

“Jika melihat kepada komitmen kerajaan persekutuan, kerajaan pusat mahu berganding bahu memacu reformasi berterusan untuk membentuk masa depan lebih baik untuk semua,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian pada perjumpaan Ketua-ketua Jabatan Negeri Dan Persekutuan Negeri Perak Bersama YAB Menteri Besar Perak Darul Ridzuan di Dewan Serba Guna Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Hadir sama YB Pegawai Kewangan Negeri yang memangku tugas YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Gazali Bin Jalal, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), YBhg. Dato’ Abu Bakar Bin Haji Said dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Puan Nor Eni Binti Ismail.

YAB Menteri Besar berkata, penjawat awam juga perlu menjalankan tanggungjawab dengan baik kerana ia merupakan amanah yang telah dipertanggungjawabkan oleh rakyat.

“Kepercayaan pentadbiran dan kepercayaan rakyat perlu dijadikan semangat untuk terus berkhidmat dengan telus dan berintegriti,” ujar beliau.

Beliau berkata, pihaknya turut berharap segala permasalahan yang diutarakan oleh masyarakat diambil maklum dan diselesaikan dalam kadar segera.

“Pastikan penyelesaian aduan rakyat dapat dilaksanakan di semua jabatan dan permudahkan urusan dengan rakyat dengan mengurangkan birokrasi. Bak kata lain turun padang, dan lihat masalah yang ada,” ujar beliau.

Kerjasama Penjawat Awam Bentuk Persefahaman Kerajaan Negeri

YAB Menteri Besar beramah mesra dengan sebahagian ketua-ketua jabatan yang hadir dalam majlis tersebut.

Kerjasama Penjawat Awam Bentuk Persefahaman Kerajaan Negeri

YAB Menteri Besar memimpin tangan S.S Mufti Perak, YABhg. Tan Sri Dato' Seri (Dr.),Haji  Harussani Bin Haji Zakaria keluar daripada majlis tersebut.

Kerjasama Penjawat Awam Bentuk Persefahaman Kerajaan Negeri

YAB Ahmad Faizal Azumu bersama tetamu kehormat yang hadir pada program tersebut.

Kerjasama Penjawat Awam Bentuk Persefahaman Kerajaan Negeri

YAB Menteri Besar bergerak ke Majlis Perjumpaan Bersama Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan Negeri.

Kerjasama Penjawat Awam Bentuk Persefahaman Kerajaan Negeri

Antara ketua-ketua jabatan yang hadir pada majlis tersebut.

Sumber : Korporat, SUK Perak.