DYMM Paduka Seri Sultan Perak Rasmi Muzium Telegraf : 15 Julai 2018

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Rasmi Muzium Telegraf

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyempurnakan gimik perasmian muzium telegraf dalam majlis berkenaan.

TAIPING, 15 JULAI 2018 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Muzium Telegraf pertama di Asia Tenggara.

Turut berkenan berangkat DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, DYTM Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Musa Muda dan DYAM Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Hadir sama, YBhg Pengerusi Telekom Malaysia Berhad (TM) yang juga Pengerusi Yayasan Telekom Malaysia (YTM), Tan Sri Dr Sulaiman Bin Mahbob; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Bazlan Bin Osman dan Pengarah YTM, Encik Abd Hamid Bin Hashim.

Perasmian Muzium Telegraf itu merupakan peristiwa bersejarah untuk YTM selepas pembukaan Muzium Telekom yang turut dikenali sebagai Muzium Telekomunikasi Negara di Kuala Lumpur pada tahun 1994.

Sementara itu, Tan Sri Sulaiman Bin Mahbob dalam ucapannya berkata, muzium itu bukan sahaja berperanan sebagai tempat menyimpan khazanah lampau malah mempunyai keupayaan untuk mewujudkan hubungan yang merentangi zaman.

Tambah beliau, Muzium Telegraf juga boleh dijadikan sebagai tempat rujukan orang ramai untuk memperoleh maklumat dan sumber pengetahuan mengenai sejarah telegraf sejak abad ke-18.

"Kami berharap Muzium Telekom dan Muzium Telegraf akan menjadi lokasi bagi pelajar, pengkaji dan masyarakat dari dalam dan luar negara untuk meningkatkan pemahaman mengenai khazanah telekomunikasi negara dan sistem komunikasi telegraf," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, penubuhan Muzium Telegraf juga bakal menjadi daya tarikan terbaharu kepada para pelancong yang berkunjung ke Taiping khususnya.

Selain itu, menurut beliau, antara artifak menarik yang dipamerkan di Muzium Telegraf ialah kabel dasar laut tahun 1870 iaitu kabel terawal di dunia menggunakan bahan penebat daripada ekstrak pokok Gutta Percha.

“Pengunjung juga boleh melawat sekitar muzium untuk melihat alat pemancar telegraf, alat penerimaan serta peralatan lain yang berkaitan dengan sistem komunikasi telegraf pada zaman dahulu sehinggalah perkhidmatan ini ditamatkan pada tahun 2012,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, pengunjung boleh membeli tiket masuk pada harga RM8 untuk orang dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak, manakala bukan warga negara dikenakan bayaran RM15 seorang.

Bersempena pelancaran Muzium Telegraf, TM juga bekerjasama dengan Pos Malaysia mengeluarkan kit koleksi setem edisi terhad yang menampilkan Muzium Telegraf yang boleh dibeli pada harga RM50.80 setiap set di 98 Pejabat Pos Malaysia di seluruh negara.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Rasmi Muzium Telegraf

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menandatangani plak perasmian Muzium Telegraf berkenaan.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Rasmi Muzium Telegraf

DYMM Paduka Seri Sultan Perak ketika melakukan sesi lawatan ke dalam muzium berkenaan.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Rasmi Muzium Telegraf

DYMM Paduka Seri Sultan Perak ketika melihat sejarah awal berkaitan teknologi telegraf yang digunapakai sejak abad ke-18.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Rasmi Muzium Telegraf

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bergambar bersama pegawai kerajaan negeri dan kakitangan Telekom Malaysia Berhad.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Rasmi Muzium Telegraf

Muzium Telegraf yang bakal menjadi salah satu produk pelancongan baharu kepada bandar Taiping.

Sumber : Korporat, SUK Perak.