World Conference On Islamic Thought and Civilization (WCIT) 2018 : 17 Julai 2018

WCIT 2018

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersama pelbagai individu terdiri dikalangan pegawai kerajaan negeri, panelis dan delegasi luar yang dijemput untuk menjayakan persidangan terbabit.

IPOH, 17 JULAI 2018 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, tiada sesiapa pun harus diketepikan dalam proses menjadikan Malaysia mencapai demokrasi matang selepas perubahan berlaku terhadap landskap politik negara.

Baginda bertitah, tidak dapat dinafikan negara berdepan banyak 'keperitan' bagi mencapai tahap tersebut dan untuk mengekalkannya, ia memerlukan kesepaduan dan tanggungjawab bersama dikalangan rakyat Malaysia.

Justeru, baginda menegaskan tidak mana-mana pihak patut tertinggal dalam proses berkenaan, termasuk dalam kalangan mereka yang mungkin tidak bersetuju dengan pihak yang berkuasa.

"Kita mesti mengelak amalan tidak sihat yang dilaksanakan sesetengah negara di mana selepas sahaja menang (pilihan raya umum), pemenang memiliki semua dan punyai hak mutlak.

"Semua rakyat Malaysia perlu menjadi sebahagian daripada perjalanan ini (menuju demokrasi matang) dan kita juga perlu diingatkan untuk sama-sama membabitkan semua pihak berkepentingan dalam perjalanan yang penuh bersejarah ini," titahnya.

Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan ucaptama dan merasmikan Persidangan Dunia Pemikiran dan Tamadun Islam Ke-5 2018 (WCIT 2018) di Pusat Konvensyen Aman Jaya.

Turut berangkat, DYAM Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Hadir sama ke majlis tersebut, YB Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam sekitar, Teknologi Hijau dan Penerangan negeri, Prof Dr Abdul Aziz Bin Bari yang mewakili YAB Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Bin Dato’ Azumu dan YBhg Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Prof Tan Sri Dr Nordin Kardi.

DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, Malaysia baru sahaja selesai menyaksikan perjalanan PRU-14 dua bulan lalu di mana rakyat dan pengundi membawa perubahan politik yang cukup besar dan tidak pernah berlaku sebelum ini melalui kotak undi.

"Dari detik ini secara relatifnya ia adalah sejarah baharu negara, saya harap rakyat Malaysia dapat merasakan bahawa mereka berkuasa untuk menentukan dan mempengaruhi masa depan negara.

"Seperti yang saya pernah katakan lebih sedekad lalu, rakyat Malaysia dari semua kaum, agama dan lokasi geografi perlu percaya bahawa di luar bayang keraguan bahawa mereka masih tetap mempunyai tempat di Malaysia.

"Perkara itu nanti memerlukan kepada apa yang diperkatakan oleh ulama iaitu tajdid (pembaharuan) dan islah (reformasi) untuk memberikan nafas baharu bagi meremajakan institusi kita dan jika perlu untuk memperbaikinya," titah baginda.

Titah baginda, dalam beberapa siri WCIT yang dihadirinya sebelum ini, baginda turut memberikan penekanan terhadap kepentingan melabur dan memperkukuhkan dunia dan golongan belia yang akan mewakili masa depan dunia.

"Pada masa sama, terdapat beberapa dapatan dan bukti yang menyatakan bahawa apabila golongan muda merasa tidak berkuasa, tidak disukai dan diabaikan, mereka tidak akan dapat membawa perubahan kepada yang lain, kurang membina, bekerjasama dan demokratik.

"Mesej itu jelas, apabila orang muda dirujuk dan terbabit secara aktif dalam politik dan diplomatik, mereka dilihat dapat membantu untuk membawa perubahan yang penting dan positif untuk semua.

"Apabila orang muda berasa diabaikan, laluan yang mereka ambil dalam memastikan suara mereka didengar sebenarnya boleh mengakibatkan keadaan menjadi bertambah buruk," titah baginda.

Terdahulu pada awal titahnya, baginda turut menggesa dan mengingatkan semua peserta persidangan untuk yakin bahawa masa depan dan hala tuju negara adalah milik bersama.

“Apabila bercakap mengenai masa depan milik bersama, ia tidak hanya terhad kepada individu Muslim tetap ia juga membabitkan umat manusia yang lain, malah Islam turut menyediakan jalan penyelesaian terbaik dalam menangani beberapa cabaran terbesar dunia pada masa depan khususnya ekonomi dan alam sekitar,” titah baginda.

WCIT 2018

DYMM Paduka Seri Sultan Perak berkenan menyampaikan titah ucapan dalam persidangan berkenaan.

WCIT 2018

DYMM Paduka Seri Sultan Perak bersama tetamu jemputan terdiri dikalangan pegawai tinggi kerajaan dan delegasi luar negara.

WCIT 2018

Antara panelis-panelis yang diundang khas bagi menjayakan persidangan berkenaan.

WCIT 2018

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menerima sebuah buku yang diberikan Pengasas Madina Institue merangkap panelis WCIT 2018, Shaykh Muhammad Yahaya Al-Ninowy.

WCIT 2018

Antara tetamu yang hadir dalam persidangan berkenaan.

Sumber : Korporat, SUK Perak.