DYMM Paduka Seri Sultan Perak Berkenan Rasmi Tiga Kemudahan Baharu USAS : 26 Julai 2018

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Berkenan Rasmi Tiga Kemudahan Baharu USAS

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah merasmikan Masjid Raja Permaisuri Bainun.

KUALA KANGSAR, 26 JULAI 2018 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyempurnakan perasmian tiga bangunan baharu Universiti Sultan Azlan Shah (USAS).

Turut berkenan berangkat, DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim dan DYTM Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa.

Keberangkatan tiba baginda diiringi YAB Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Bin Dato’ Azumu dan YBhg Naib Canselor USAS, Prof Tan Sri Dr Nordin Bin Kardi.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak yang juga Canselor USAS berkenan menyempurnakan lafaz perasmian Masjid Raja Permaisuri Bainun, Dewan Penginapan Mahasiswa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dan Perpustakaan Raja Ashman Shah dengan menandatangani plak perasmian.

Terdahulu, baginda turut berkenan menonton video montaj perasmian ketiga-tiga bangunan baharu itu dan kemudian melawat Perpustakaan Raja Ashman Shah serta Dewan Penginapan Mahasiswa MAIPk.

Sementara itu, YBhg Prof Tan Sri Dr Nordin Bin Kardi dalam ucapannya berkata, dengan perasmian nama masjid dan perpustakaan yang baharu itu, diharap akan mengekalkan hubungan fizikal dan rohani secara turun-temurun antara USAS dengan keluarga DiRaja Perak.

"Alangkah berertinya kepada USAS jika suatu hari nanti akan menjadi tempat pilihan keluarga diraja mendapatkan ilmu pengajian tinggi. Apabila hal itu terjadi nanti bertambah-tambah tinggilah martabat USAS," kata beliau.

Menurut beliau, dengan itu USAS mulai sekarang hendaklah bekerja keras mempersiapkan diri dengan menyediakan pengajian tinggi yang kualitinya bertaraf dunia.

Beliau berkata, bagi dewan penginapan pula ia dibina dengan pembiayaan MAIPk setinggi lima tingkat dan mempunyai 75 unit kediaman serta mampu menempatkan lebih 700 penghuni yang sudah mula diduduki pelajar pada Januari lalu.

"USAS sangat berterima kasih kepada semua ahli majlis MAIPk yang sebulat suara menyokong supaya bangunan ini dibiayai," kata beliau.

INFO

* Masjid Raja Permaisuri Bainun bercirikan kontemporari Melayu moden dibina setinggi dua tingkat dan dapat menampung seramai 2,000 jemaah merangkumi keluasan tanah 2,255.4 meter persegi.

* Perpustakaan Raja Ashman Shah dahulunya dikenali sebagai Perpustakaan USAS yang mula beroperasi di Ipoh pada 1999 dan berpindah ke bangunan baru di Kuala Kangsar pada 2008.

* Dewan Penginapan Mahasiswa MAIPk diluluskan pembeliannya pada 2015 bagi menampung peningkatan pelajar USAS dengan membabitkan dua blok bangunan lima tingkat bernilai RM13.5 juta serta mampu menampung 720 pelajar dalam satu masa.

 

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Berkenan Rasmi Tiga Kemudahan Baharu USAS

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan melawat sekitar Perpustakaan Raja Ashman Shah.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Berkenan Rasmi Tiga Kemudahan Baharu USAS

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menandatangi plak perasmian majlis tersebut.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Berkenan Rasmi Tiga Kemudahan Baharu USAS

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah melawat galeri yang terdapat di perpustakaan tersebut.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Berkenan Rasmi Tiga Kemudahan Baharu USAS

Bangunan Asrama Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang baharu dibina.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Berkenan Rasmi Tiga Kemudahan Baharu USAS

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah  bergambar bersama-sama tetamu terhormat.

Sumber : Korporat, SUK Perak.