YAB Menteri Besar Perak Mahu Kempen Kibar Jalur Gemilang Diperhebat : 04 Ogos 2018

YAB Menteri Besar Perak Mahu Kempen Kibar Jalur Gemilang Diperhebat

YAB Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Bin Dato’ Azumu mengibarkan Jalur Gemilang bersama-sama tetamu yang hadir.

KUALA KANGSAR, 04 OGOS 2018 - YAB Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Bin Dato’ Azumu mahu kempen kibar Jalur Gemilang di negeri ini dilakukan secara besar-besaran.

Beliau berkata, ia bukan sahaja meliputi bangunan kerajaan malah premis swasta dan rumah kediaman.

“Tahun ini, kita akan sungguh-sungguh kibarkan Jalur Gemilang. Mulai malam ini, kita kibarkan sekurang-kurangnya satu bendera di rumah,” ujar beliau ketika berucap melancarkan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri Perak 2018 di pekarangan Dewan Jubli Perak.

Hadir sama YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mohd Gazali Bin Jalal dan YB Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Penerangan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana, Dr Abdul Aziz Bin Bari.

YAB Ahmad Faizal Bin Dato’ Azumu berkata, kempen besar-besaran itu perlu dilakukan kerana sejak 10 tahun kebelakangan ini, beliau mendapati semangat patriotik di kalangan rakyat semakin berkurangan.

YAB Menteri Besar memberi contoh, tahun lalu, beliau sendiri bersama isteri, Dr Nomee Ashikin Binti Dato’ Mohammed Radzi dan anak-anak mengedarkan Jalur Gemilang di taman perumahannya.

Beliau turut mengingatkan bahawa sambutan Bulan Kebangsaan dan kibar Jalur Gemilang perlu dihayati untuk menimbulkan rasa sayang kepada negara.

“Sambutan ini bukan saja-saja untuk seronok tetapi perlu dihayati dengan penuh kasih sayang kepada negara.

“Kalau kita sayang kepada negara, kita juga mesti benci kepada perkara-perkara yang tidak baik seperti rasuah, penyelewengan, penagihan dadah, maksiat dan lain-lain lagi,” ujar beliau.

Terdahulu, YAB Ahmad Faizal Bin Dato’ Azumu dan isteri turut menyaksikan pelbagai persembahan menarik dan penuh warna warni, antaranya tarian kebudayaan daripada pelajar-pelajar Sekolah Seni Negeri Perak, Sungai Siput dan pancaragam Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Cina Sam Tet, Ipoh.

YAB Menteri Besar Perak Mahu Kempen Kibar Jalur Gemilang Diperhebat

YAB Menteri Besar Perak dan isteri melawat pameran yang diadakan semasa majlis tersebut.

YAB Menteri Besar Perak Mahu Kempen Kibar Jalur Gemilang Diperhebat

Majlis Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Perak disambut meriah dengan kehadiran orang ramai yang membanjiri majlis tersebut.

YAB Menteri Besar Perak Mahu Kempen Kibar Jalur Gemilang Diperhebat

YAB Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Bin Dato’ Azumu beramah mesra bersama peserta pameran semasa Majlis Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Perak.

YAB Menteri Besar Perak Mahu Kempen Kibar Jalur Gemilang Diperhebat

YAB Menteri Besar Perak menyampaikan ucapan semasa Majlis Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Perak.

Sumber : Korporat, SUK Perak.