DYMM Paduka Seri Sultan Perak Rasmi Kem Batalion 18 PGA Pengkalan Hulu : 16 Ogos 2018

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Rasmi Kem Batalion 18 PGA Pengkalan Hulu

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyempurnakan lafaz perasmian Kem Batalion 18 PGA Pengkalan Hulu. 

PENGKALAN HULU, 16 OGOS 2018 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Kem Batalion 18 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Hulu.

Keberangkatan tiba baginda diiringi oleh YB Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato’ Mohd Azis Bin Jamman; YB Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Industri, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan Perak, Tuan Haji Asmuni Bin Awi; serta YBhg Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Seri Mohamad Fuzi Bin Harun.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak kemudian berkenan menyempurnakan lafaz perasmian Kem Batalion 18 PGA Pengkalan Hulu dan gimik sebelum menandatangani plak perasmian.

Terdahulu, baginda juga memeriksa kawalan kehormat dan berkenan menyaksikan persembahan Legenda Perang Senoi Praaq serta Pantomin Pengorbanan Senoi Praaq. Selesai perasmian, DYMM Paduka Seri Sultan Perak berkenan melawat pameran dan ke majlis santapan sebelum berangkat meninggalkan majlis.

Yang turut berkenan berangkat, DYTM Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; DYAM Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah; dan DYAM Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Sementara itu, Tan Sri Dato’ Seri Mohamad Fuzi dalam ucapannya pula berkata, pembinaan Kem Batalion 18 PGA adalah sebahagian daripada pelan strategi keselamatan pasukan dalam usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dan negara.

“Lokasi pentadbiran Batalion 18 PGA yang pertama ialah di Lot 2265 Pengkalan Hulu dibina pada 1950 dan beroperasi sepenuhnya pada 1968.

“Bagi meningkatkan lagi khidmat PDRM kepada masyarakat agar lebih berkesan dan menjaga aspek kebajikan warga Batalion 18 PGA, pembinaan kompleks yang lebih kondusif serta selesa dilaksanakan pada 1 November 2003.

“Kompleks baharu dilengkapi pelbagai kemudahan untuk warga kerja ini dibangunkan di Padang Tamat, Pengkalan Hulu, membabitkan kawasan seluas 73 hektar dengan kos pembinaan RM230 juta dan siap sepenuh serta beroperasi pada 2010,” kata beliau.

Beliau berkata, Batalion 18 PGA dibarisi kekuatan seramai 421 anggota polis dan awam yang diketuai oleh Pegawai Pemerintah berpangkat Superintenden.

Katanya, majoriti anggota batalion itu adalah Orang Asli daripada 10 suku kaum yang cukup terkenal dengan sifat taat setia kepada pasukan dan bertanggungjawab dalam menjalankan setiap tugasan diamanahkan.

“Batalion 18 ini diberi pelbagai tanggungjawab meliputi hampir keseluruhan aspek dan tugas sebagai sebuah pasukan PGA.

“Ia ditugaskan di tiga negeri, iaitu Perak, Kedah dan Perlis secara berkala bagi mengendalikan Op Wawasan Kedah/Perlis serta kawalan keselamatan di kompleks sempadan, selain turut terbabit dalam operasi besar seperti Op Taring (Zon Selamat Timur Sabah) di Sabah dan Op Wawasan Khas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA).

“Menjadi harapan saya dan barisan pucuk kepemimpinan PDRM supaya kemudahan prasarana disediakan ini dapat menjadi perangsang kepada warga Batalion 18 untuk terus memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” kata beliau.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Rasmi Kem Batalion 18 PGA Pengkalan Hulu

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan memeriksa kawalan kehormat Batalion 18 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Hulu.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Rasmi Kem Batalion 18 PGA Pengkalan Hulu

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan nazrin Muizzuddin Shah berkenan melihat senjata api yang dirampas daripada pihak komunis pada majlis berkenaan.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Rasmi Kem Batalion 18 PGA Pengkalan Hulu

DYMM Paduka Seri Sultan Perak mendengar taklimat yang disampaikan Pegawai Pemerintah Kem Batalion 18 PGA Pengkalan Hulu, Superitendan Khalid Saion.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Rasmi Kem Batalion 18 PGA Pengkalan Hulu

Persembahan Pantomin Pengorbanan Senoi Praaq yang dilakonkan oleh anggota Batalion 18 PGA Pengkalan Hulu.

Sumber : Korporat, SUK Perak.