Kerajaan Negeri Bercadang Tingkatkan Jumlah Dana Bagi Pinjaman Pendidikan : 20 Ogos 2018

Kerajaan Negeri Bercadang Tingkatkan Jumlah Dana Bagi Pinjaman Pendidikan

YB Prof. Dr. Abdul Aziz Bin Bari menyampaikan replika cek kepada Nor Shazmiera Asyraf Binti Asyraf yang mendapat pinjaman bernilai RM21,000. 

IPOH, 20 OGOS 2018 - Kerajaan negeri bercadang meningkatkan jumlah dana bagi pinjaman pendidikan bertujuan membantu lebih ramai para pelajar di Perak untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi.

YB Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, Prof. Dr. Abdul Aziz Bin Bari berkata, perkara itu akan diperhalusi dan berkemungkinan dilaksanakan selepas pembentangan bajet negeri pada tahun hadapan. 

Beliau berkata, bajet sedia ada sekitar RM6 juta yang diperuntukkan juga dirasakan agak kecil selain tidak pernah bertambah sejak beberapa tahun terdahulu. 

"Kita harap dengan kurangnya pembaziran, tidak adanya ketirisan dan sebagainya, saya rasa benda ini benda yang kita boleh buat selain bukan satu benda yang orang kata terlalu sukar untuk dilakukan.

"Dana itu InsyaAllah kita akan naikkan tapi amaun yang diberikan untuk pinjaman pelbagai peringkat pengajian itu tetap sama. Cuma, kita mahu lebih ramai yang berpeluang untuk dapatkan bantuan seumpama ini," ujar beliau. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Cek Pinjaman Pengajian Tinggi Kerajaan Negeri Perak Sesi 2018/2019 di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Menurut beliau, Yayasan Perak bersama beberapa pihak lain juga akan bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi memastikan para pelajar yang melepasi syarat kelayakan mendapat kemudahan pembiayaan pendidikan.

"Yayasan Perak dan satu dua agensi lain saya rasa akan buat langkah yang sama. Mereka juga akan cari pelbagai inisiatif untuk membantu sekaligus memudahkan pelajar untuk mendapatkan kemudahan pembiayaan," kata beliau. 

Mengulas mengenai program yang berlangsung, YB Prof. Dr. Abdul Aziz Bin Bari yang juga ADUN Tebing Tinggi menjelaskan kerajaan negeri memperuntukkan lebih RM3.5 juta bagi pinjaman pengajian melibatkan 500 anak Perak pada sesi kali ini. 

Katanya, ia meliputi 86 pelajar diperingkat diploma, 352 pelajar peringkat ijazah sarjana muda, 45 pelajar peringkat sarjana dan 17 pelajar diperingkat doktor falsafah.

Kerajaan Negeri Bercadang Tingkatkan Jumlah Dana Bagi Pinjaman Pendidikan

Antara pelajar yang berjaya mendapatkan pinjaman melafazkan ikrar akujanji berkaitan Cek Pinjaman Pengajian Tinggi Perak .

Kerajaan Negeri Bercadang Tingkatkan Jumlah Dana Bagi Pinjaman Pendidikan

YB Pro. Dr. Abdul Aziz Bin Bari beramah mesra bersama para pelajar yang berjaya mendapat pembiayaan pinjaman pendidikan tersebut.

Kerajaan Negeri Bercadang Tingkatkan Jumlah Dana Bagi Pinjaman Pendidikan

YB A.Sivanesan turut sama menyantuni beberapa wakil pelajar kaum India yang berjaya mendapat pinjaman pendidikan tersebut.

Kerajaan Negeri Bercadang Tingkatkan Jumlah Dana Bagi Pinjaman Pendidikan

YB Prof. Dr. Abdul Aziz Bin Bari menyampaikan replika cek kepada wakil pelajar, Ghapur Rahim Bin Mustakim yang mengikuti pengajian diperingkat ijazah falsafah (phd).

Kerajaan Negeri Bercadang Tingkatkan Jumlah Dana Bagi Pinjaman Pendidikan

YB Prof. Dr. Abdul Aziz bersama para pelajar yang mendapat pembiayaan Pinjaman Pengajian Tinggi Perak.

Sumber : Korporat, SUK Perak.