SUK Perak Juara Kawad Hari Kebangsaan Kali Ketiga Berturut-Turut : 31 Ogos 2018

SUK Perak Juara Kawad Hari Kebangsaan Kali Ketiga Berturut-Turut

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyampaikan hadiah kepada Pasukan Kawad SUK Perak yang memenangi
tempat kedua Kategori Pakaian Terbaik sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2018 peringkat Negeri Perak.  

IPOH, 31 OGOS 2018 - Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak, mengekalkan kejuaraan buat kali ketiga berturut-turut Kontinjen Kawad Terbaik bagi kategori Jabatan Kerajaan bersempena Sambutan Hari Kebangsaan 2018 Peringkat Negeri Perak.

Kontinjen Kawad Pejabat SUK Perak turut dipilih sebagai pemenang tempat kedua bagi Kategori Kontinjen Pakaian Terbaik Keseluruhan setelah mempamerkan reka bentuk pakaian kontinjen yang kreatif dan bersesuaian dengan tema sambutan kemerdekaan pada kali ini iaitu “Sayangi Malaysiaku".

Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak membawa pulang RM5,000 iaitu RM 3,000 bagi Johan kategori Kontinjen Kawad Terbaik dan RM2,000 untuk tempat kedua bagi kategori Pakaian Terbaik. 

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan hadiah kepada para pemenang bertempat di Dewan Bandaran Ipoh, sejurus selesai upacara perbarisan kontinjen.

Turut mengiringi baginda dalam sesi penyampaian hadiah, YAB Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu dan YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Haji Gazali Bin Jalal. 

Dalam pada itu, turut berangkat hadir memeriahkan Sambutan Kemerdekaan Ke-61 itu adalah DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, DYTM Raja Muda Perak, Raja Jaafar Ibni Raja Muda Musa, DYAM Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah, Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim, YTM Raja Kechil Besar, Raja Azlan Muzzaffar Shah Ibni Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan YTM Raja Nazira Safya Ibni Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. 

Selain itu,  seramai 15,000 rakyat pelbagai kaum hadir meraikan sambutan Hari Kebangsaan tersebut yang berlangsung dihadapan Dewan Bandaran Ipoh. 

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah turut berkenan memeriksa kawalan kehormatan terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat Rejimen Askar Jurutera Diraja 2 Divisyen yang berpengkalan di Kem Sangro Taiping. 

Selain itu, seramai 5703 peserta daripada 107 kontinjen mewakili jabatan kerajaan, pihak berkuasa tempatan, badan berkanun,  pasukan unit beruniform, daerah dan institusi pengajian tinggi telah terlibat dalam sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini.

SUK Perak Juara Kawad Hari Kebangsaan Kali Ketiga Berturut-Turut

Atlet SUKMA Perak turut menyertai perarakan Hari Kemerdekaan 2018 peringkat negeri yang berlangsung dihadapan Dewan Bandaran Ipoh.

SUK Perak Juara Kawad Hari Kebangsaan Kali Ketiga Berturut-Turut

Kontinjen Kawad Kaki SUK Perak yang menjuarai kategori Jabatan kerajaan pada Hari kebangsaan 2018  bergambar bersama YAB Menteri Besar, Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu dan YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Haji Gazali Bin Jalal.

SUK Perak Juara Kawad Hari Kebangsaan Kali Ketiga Berturut-Turut

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyampaikan sumbangan kepada bekas perajurit negara, Arsat Bin Said dalam majlis Sambutan Hari Kemerdekaan 2018 peringkat negeri Perak.

Sumber : Korporat, SUK Perak.