Insentif Khas Untuk Atlet Sukma Perak Jika Lepasi Pencapaian Terbaik Peribadi : 01 September 2018

Insentif Khas Untuk Atlet Sukma Perak Jika Lepasi Pencapaian Terbaik Peribadi

YB Howard Lee Chuan How sewaktu penyerahan pakaian rasmi SUKMA Perak kepada YAB Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu.  

IPOH, 01 SEPTEMBER 2018 - Selain daripada ganjaran wang tunai untuk atlet yang memperoleh pingat, atlet Sukan Malaysia (SUKMA) Perak bakal menerima insentif khas sekiranya mereka melepasi pencapaian terbaik peribadi masing-masing.

YAB Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu berkata, beliau akan mencari jalan untuk memberi insentif khas itu sebagai pengiktirafan kepada atlet yang cemerlang. Beliau berpendapat, sukan mampu mewujudkan semangat kecintaan kepada negeri dan negara di samping membina keyakinan diri atlet itu sendiri.

“Jadi, oleh sebab itulah saya ingin mengajak para atlet semua agar mereka mencabar diri sendiri, berlawan dengan diri sendiri, bukan bertanding dengan orang lain, bukan dengan atlet lain, untuk mencapai pencapaian peribadi terbaik. “Oleh itu, saya secara spontan sebenarnya tadi nak cari jalan bagaimana nak iktiraf mereka dalam bentuk insentif lain yang akan saya cuba dapatkan kepada semua atlet yang berjaya mencapai personal best di dalam temasya Sukma ini nanti,” ujar beliau. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan bendera kepada kontinjen Perak yang akan mengambil bahagian di dalam Sukma XIX yang akan berlangsung 12 - 22 September ini.

Hadir sama YB Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Howard Lee Chuan How dan YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Haji Mohd Gazali Bin Jalal.

YAB Menteri Besar Perak berkata, insentif khas juga akan diberikan kepada atlet yang berjaya memecahkan rekod.

Terdahulu, beliau mengumumkan insentif RM5,000 untuk atlet yang mendapat emas bagi acara individu, RM3,000 pingat perak dan RM1,000 pingat gangsa.

Bagi acara berpasukan pula, RM2,500 setiap seorang untuk pingat emas, RM1,500 pingat perak dan RM500 pingat gangsa.

Dalam pada itu, YAB Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu berharap setiap atlet Perak dapat memainkan peranan sebagai duta kecil untuk bersama-sama mempromosikan tempat-tempat menarik di negeri ini.

Menurut beliau, menjadi tuan rumah sesuatu temasya sukan seperti Sukma memberi peluang yang amat baik untuk mempromosikan negeri, tambahan pula Perak merupakan negeri tertinggi di Malaysia yang menerima pelancong domestik.

“Maka, Sukma ini boleh kita gunakan sebagai satu platform untuk memperkenalkan ataupun perhebatkan lagi promosi tentang tempat-tempat yang menarik di negeri Perak ini," kata beliau.

Beliau juga berharap pihak media dapat memainkan peranan yang sama sepanjang mereka membuat liputan temasya sukan tempatan terbesar di negara ini.

Kira-kira 12,000 atlet dan pegawai dari seluruh negara akan mengambil bahagian dalam 29 jenis sukan yang akan dipertandingkan pada Sukma XIX.

Perak sahaja akan menghantar sejumlah 581 atlet dan 129 pegawai.

Insentif Khas Untuk Atlet Sukma Perak Jika Lepasi Pencapaian Terbaik Peribadi

YAB Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu ketika sesi penyerahan bendera kepada Pengurus Pasukan Sepak Takraw Perak, Encik Syamsul Bin Istar.

Insentif Khas Untuk Atlet Sukma Perak Jika Lepasi Pencapaian Terbaik Peribadi

YAB Menteri Besar, Ahmad Faizal bin Dato' Azumu menyampaikan amanat dalam Majlis Penyerahan Bendera Kepada Kontinjen Negeri yang bakal mengambil bahagian dalam SUKMA Perak XIX.

Insentif Khas Untuk Atlet Sukma Perak Jika Lepasi Pencapaian Terbaik Peribadi

YAB Menteri Besar bersama atlet negeri yang bakal mengambil bahagian dalam SUKMA Perak yang berlangsung pada 12-22 September depan.

Sumber : Korporat, SUK Perak.