AIRASIA Mulakan Penerbangan Johor - Ipoh : 02 Oktober 2018

AIRASIA Mulakan Penerbangan Johor - Ipoh

YAB Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu ketika majlis sambutan penerbangan sulung Johor Bahru-Ipoh AirAsia di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah.

IPOH, 02 OKTOBER 2018 - AirAsia Bhd memulakan perkhidmatan penerbangan sulungnya dari Johor ke Ipoh sebagai laluan baharu dalam rangkaian penerbangan syarikat itu.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Encik Riad Bin Asmat berkata, laluan baharu yang beroperasi empat kali seminggu itu merupakan usaha berterusan syarikat untuk mengembangkan capaian domestiknya.

"Kami komited untuk meningkatkan pertumbuhan pelancongan (tempatan) dengan menambah baik hubungan menerusi laluan baharu, dan perkhidmatan kami di Ipoh akan turut menyumbang kepada perniagaan tempatan dalam aspek pelancongan dan pewujudan peluang pekerjaan.

"Malah, hari ini merupakan sambutan berganda bagi AirAsia berikutan kami turut melancarkan laluan Johor-Alor Setar dengan penerbangan empat kali seminggu," kata beliau kepada pemberita pada majlis sambutan penerbangan sulung Johor Bahru-Ipoh AirAsia di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah.

Terdahulu, YAB Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Bin Dato’ Azumu, Pengarah AirAsia Dato’ Aziz Bin Bakar dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports Raja Azmi Bin Raja Nazuddin menyambut ketibaan seramai 120 penumpang dengan penerbangan sulung AK6082 itu.

YAB Menteri Besar Perak berkata beliau yakin penerbangan baharu itu akan meningkatkan lagi jumlah pelancong ke Perak dan menyumbang kepada ekonomi negeri.

Sementara itu, katanya Majlis Tindakan Pelancongan Perak ditubuhkan untuk membangunkan sektor pelancongan negeri ini.

"Antara tugas utamanya mewujudkan pelan induk untuk memacu sektor pelancongan negeri termasuk menjenamakannya semula bagi menarik lebih ramai pengunjung dari dalam dan luar negara," kata beliau.

AIRASIA Mulakan Penerbangan Johor - Ipoh

Ketibaan pesawat Airasia AK6082 di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah yang membawa penumpang dari Johor ke Ipoh.

AIRASIA Mulakan Penerbangan Johor - Ipoh

YAB Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu melayani selain menyampaikan cenderahati kepada  penumpang pesawat tersebut.

AIRASIA Mulakan Penerbangan Johor - Ipoh

YAB Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu menyambut ketibaan para penumpang yang menaiki pesawat Airasia tersebut.

AIRASIA Mulakan Penerbangan Johor - Ipoh

YAB Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu bersama pegawai kerajaan dan kakitangan Airasia Bhd.

Sumber : Korporat, SUK Perak.