DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Berkenan Hadir Di Majlis Rakyat : 10 November 2018

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Berkenan Hadir Di Majlis Rakyat

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan beramah mesra dengan Persatuan Penghulu Daerah Kerian dalam sambutan majlis bersama rakyat yang berlangsung.

PARIT BUNTAR, 10 NOVEMBER 2018 – DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersama DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan menghadiri Majlis Bersama Rakyat di Dataran Kerian Permai yang diadakan sempena ulang tahun keputeraan baginda.

Turut berkenan berangkat ke majlis itu, DYTM Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan DYAM Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Keberangkatan tiba keluarga diraja itu diiringi YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Bin Dato’ Azumu dan isteri, Datin Seri Dr Nomee Asyikin Binti Dato’ Mohammed Radzi.

Selain itu, majlis berkenaan turut dimeriahkan dengan kehadiran lebih 2,000 rakyat pelbagai lapisan masyarakat dari sekitar daerah Kerian dan kawasan berhampiran.

DYMM Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim turut berkenan mencuba juadah Wadai Kepeng dan Kalakatar iaitu dua menu istimewa etnik Banjar yang dihidangkan dalam menu santapan pada majlis berkenaan.

Sementara itu, YAB Menteri Besar dalam ucapannya berkata, daerah Kerian dikenali sebagai jelapang padi Negeri Perak dengan keluasan tanaman padi sebanyak 20,972 hektar menjadikannya jelapang padi ketiga terbesar di Malaysia.

“Selain pesawah, penduduk tempatan di sini juga terdiri dari golongan nelayan di mana berdasarkan rekod terdapat 151 nelayan darat dan 3,917 nelayan laut yang berlesen di daerah Kerian pada 2018.

“Pembangunan pesat sektor perindustrian di selatan Pulau Pinang, khususnya di daerah Nibong Tebal Pulang Pinang juga mewujudkan kesan limpahan kepada daerah ini dan ia membawa kesan positif apabila para pelabur melebarkan operasi industri hiliran ke daerah Kerian,” katanya.

Beliau berkata, kedudukan Kerian yang bersempadanan dengan Bandar Baharu Kedah dan Nibong Tebal menjadikan ia sebagai lokasi yang strategik dan kerajaan negeri komited untuk menarik pelabur-pelabur untuk mengembangkan operasi mereka ke daerah berkenaan.

“Ini sekali gus akan mewujudkan peluang pekerjaan baharu kepada rakyat di wilayah utara Perak,” katanya.

Dato’ Seri Ahmad Faizal Bin Dato’ Azumu berkata, Kerian juga terkenal dengan beberapa tarikan pelancongan, seperti keunikan Pantai Ban Pecah, Bukit Merah Laketown Resort dan Kuala Gula Santuari yang menjadi salah satu kawasan persinggahan pelbagai spesis burung hijrah.

“Selain itu, Kerian juga tidak terpinggir dari aspek pendidikan apabila daerah ini muncul sebagai daerah terbaik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tiga tahun berturut-turut iaitu tahun 2015, 2016 dan 2017,” katanya.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Berkenan Hadir Di Majlis Rakyat

DYTM Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa berkenan hadir pada sambutan majlis rakyat yang diadakan di Daerah Kerian.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Berkenan Hadir Di Majlis Rakyat

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan beramah mesra dengan rakyat yang hadir pada sambutan majlis berkenaan.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Berkenan Hadir Di Majlis Rakyat

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan hadir pada sambutan majlis rakyat sempena ulang tahun keputeraan baginda.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Berkenan Hadir Di Majlis Rakyat

DYAM Raja DiHilir, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah berkenan hadir pada majlis bersama rakyat yang dilangsungkan.

Sumber : Korporat, SUK Perak.