Tanjung Malim Bakal Jadi Bandar Belia Komanwel : 17 November 2018

Tanjung Malim Bakal Jadi Bandar Belia Komanwel

YB Timbalan Speaker DUN Negeri ketika merasmikan majlis pelancaran bandar belia Komanwel.

TANJUNG MALIM, 17 NOVEMBER 2018 - Kerajaan negeri akan menjadikan Tanjung Malim sebagai lokasi utama bandar belia Komanwel di dunia.

YB Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri, Tuan Haji Aminuddin Bin Zulkipli berkata, sebidang tanah seluas sembilan hektar telah dikenal pasti bagi membina ibu pejabat Majlis Pemuda Komanwel dan Rangkaian Belia Komanwel yang akan dimulakan dua tahun lagi dan kini proses pengambilan tanah sedang dilakukan.

"Ibu pejabat rasmi itu akan menyediakan ruang kerja untuk organisasi antarabangsa, pejabat maya untuk modal teroka Komanwel dan pelabur, kemudahan untuk bengkel dan aktiviti belia serta makmal untuk memanfaatkan kreativiti dan inovasi," kata beliau.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan  bandar belia Komanwel di Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM).

Majlis pelancaran turut disaksikan wakil belia dari United Kingdom, Amerika Syarikat, China, Rusia, Pakistan, Malta, Fiji, Kepulauan Solomon, Australia, India, Ghana dan Bahrain.

Menurut beliau, bandar belia Komanwel akan memanfaatkan infrastruktur awam sedia ada, kemudahan dan kerjasama dengan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sektor swasta dan masyarakat awam.

“Bandar ini akan mempunyai sistem teknologi tinggi seperti blockchain, analisis data yang besar serta ciri-ciri futuristik yang lain,” kata beliau.

Bandar belia Komanwel akan  merangkumi hab inovasi, hotel perniagaan, suite SOHO dan rumah mampu milik untuk memberi peluang kepada para belia membangunkan diri mereka dalam bidang pekerjaan dan keusahawanan serta pemupukan kemahiran vokasional di kalangan belia.

Sementara itu, YB Tuan Haji Aminudin Bin Zulkipli dalam ucapan perasmian berkata, inisiatif  bandar belia  ini juga  akan dibangunkan di beberapa negara Komanwel dan bukan Komanwel untuk mewujudkan rangkaian bandar-bandar belia yang akan dikenali sebagai Komuniti Bandar Belia.

“Kami ingin melihat komuniti bandar belia ini akan meningkatkan integrasi antara negara anggota Komanwel dan bukan Komanwel, membolehkan mereka saling berhubungan dari segi sosial, ekonomi, alam sekitar dan politik," kata beliau.

Dengan mengubah bandar yang kurang maju kepada bandar yang moden, dinamik dan inklusif, bandar belia Komanwel ini  bertujuan mengurangkan kadar penghijrahan belia dari kawasan luar bandar ke bandar-bandar besar, meningkatkan taraf hidup dan pembangunan di kawasan separuh bandar dan dengan itu menjadikan kawasan itu sebuah hab untuk belia.

Projek berwawasan ini  diumumkan oleh Putera Charles of Wales semasa Sidang Kemuncak Pemuda Komanwel pada November 2017, disokong oleh kerajaan Malaysia dan kerajaan negeri Perak dengan kerjasama Pusat Inovasi Pemuda Komanwel dan majlis pemuda tempatan di Malaysia.

Tanjung Malim Bakal Jadi Bandar Belia Komanwel

YB Timbalan Speaker DUN Negeri melihat perancangan dan pembangunan bandar belia Komanwel yang akan dibangunkan di Tanjung Malim.

Tanjung Malim Bakal Jadi Bandar Belia Komanwel

YB Tuan Haji Aminuddin Bin Zulkipli bersama para hadirin yang terlibat dalam majlis pelancaran berkenaan.

Tanjung Malim Bakal Jadi Bandar Belia Komanwel

YB Tuan Haji Aminuddin Bin Zulkipli ketika berucap pada majlis pelancaran bandar belia Komanwel.

Tanjung Malim Bakal Jadi Bandar Belia Komanwel

YB Timbalan Speaker DUN ketika hadir ke majlis berkenaan.

Sumber : Korporat, SUK Perak.