829 Pengerusi MPKK Perak Terima Watikah Pelantikan : 22 November 2018

829 Pengerusi MPKK Perak Terima Watikah Pelantikan

YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu ketika menyampaikan ucapan dalam majlis tersebut.

IIPOH, 22 NOVEMBER 2018 - Kerajaan negeri menyerahkan 829 watikah pelantikan kepada pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di seluruh Perak.

YAB Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Faizal Bin Dato’ Azumu berkata, pelantikan itu akan melayakkan semua pengerusi terbabit menerima elaun bulanan sebanyak RM700 berkuat kuasa Oktober lepas.

Beliau berkata, bagaimanapun ada segelintir pengerusi MPKK yang telah menerima elaun bulanan sejak Ogos lalu kerana telah memulakan tugas pada bulan tersebut.

“Kita menyedari bahawa kebanyakan mereka bukanlah mempunyai sumber kewangan yang banyak, jadi kita bersetuju elaun sumbangan kerajaan negeri dibayar mulai Ogos,” kata beliau selepas majlis penyerahan itu di kediaman Menteri Besar.

Hadir sama YB Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan negeri, Tuan Haji Asmuni Bin Awi dan YB Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia Dan NGO negeri, Hasnul Zulkarnain Bin Abdul Munaim.

Pada majlis sama, YAB Menteri Besar turut menyerahkan geran tahunan RM5,000 kepada 12 pegawai daerah yang mewakili MPKK daerah masing-masing.

Geran tahunan itu juga diberikan dua kali setahun yang akan diselaraskan oleh pejabat-pejabat daerah.

YAB Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Faizal Bin Dato’ Azumu dalam ucapannya berkata, setiap MPKK akan mempunyai 11 biro, melibatkan 9,119 orang yang menjadi kekuatan akar umbi kerajaan negeri.

Menurut beliau, Pengerusi MPKK merupakan pegawai perhubungan antara kerajaan dengan rakyat yang menjadi mata dan telinga kepimpinan negeri untuk merasai denyutan nadi rakyat.

Beliau menambah, mereka merupakan barisan hadapan bagi kerajaan negeri dalam memastikan penyampaian perkhidmatan dari kepimpinan yang tertinggi kepada rakyat.

Menurut beliau, tanggungjawab dan peranan mereka juga perlu berubah kepada pemimpin masyarakat, tidak lagi ketua masyarakat.

“Kini adalah masa kita bekerja untuk rakyat dan menjalankan amanah. Kini bukan lagi masa untuk melayan polemik politik tetapi masa untuk kita semua bekerja.

“Penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat dalam tadbir urus pada kali ini perlu melihat secara lebih terbuka. Jangan memandang darjat dan kelebihan tetapi melihat apa yang diperlukan oleh rakyat.

“Begitu juga dengan amalan integriti yang baik dan kepimpinan yang berhemah di kalangan MPKK untuk menjadi identiti baru yang terbaik,” ujar beliau.

Beliau menambah, sikap itu akan dapat memberikan gambaran kepada masyarakat dari akar umbi secara keseluruhan bahawa MPKK mempunyai nilai-nilai murni yang tinggi dan boleh dijadikan teladan.

829 Pengerusi MPKK Perak Terima Watikah Pelantikan

YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu hadir pada majlis penyerahan watikah lantikan kepada pengerusi MPKK.

829 Pengerusi MPKK Perak Terima Watikah Pelantikan

Bacaan ikrar turut dilafazkan oleh semua pengerusi MPKK yang menerima watikah pelantikan.

829 Pengerusi MPKK Perak Terima Watikah Pelantikan

YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu bersama pegawai kerajaan negeri dan pengerusi MPKK yang menerima watikah pelantikan jawatan.

829 Pengerusi MPKK Perak Terima Watikah Pelantikan

YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu menyampaikan geran pengurusan MPKK Daerah Manjung kepada wakilnya.

829 Pengerusi MPKK Perak Terima Watikah Pelantikan

YB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu menyampaikan geran pengurusan MPKK Daerah Hilir Perak kepada wakilnya.

Sumber : Korporat, SUK Perak.