Kerajaan Negeri Peruntuk Insentif RM1.5 Juta Kepada Atlet Cemerlang : 14 Disember 2018

Kerajaan Negeri Peruntuk Insentif RM1.5 Juta Kepada Atlet Cemerlang

YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu bersama skuad olahraga SUKMA Perak yang menerima insentif daripada kerajaan negeri.

IPOH, 14 DISEMBER 2018 - Kerajaan Perak memperuntukkan insentif sebanyak RM1.5 juta kepada atlet negeri itu yang berjaya melakar kejayaan dalam Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA 2018 pada Oktober dan bulan lalu.

Turut menerima insentif berkenaan ialah pemain bola sepak Perak yang berjaya merangkul juara Piala Malaysia 2018 yang menerima keseluruhan RM317,000 dan pemain hoki yang mengekalkan kemenangan tahun lalu dalam saingan Piala Razak 2018.

Insentif berkenaan turut diberikan kepada atlet yang menjulang nama negeri dalam temasya Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) ke-20.

YAB Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Faizal Bin Dato’ Azumu, berkata sebagaimana dijanjikan, insentif itu diberikan tanda penghargaan kerajaan negeri kepada atlet yang mengharumkan nama Perak dalam pertandingan sukan yang disertai.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan insentif yang diberikan itu adalah berbeza mengikut sukan masing-masing termasuk pencapaian individu dan pasukan yang meraih pingat dalam SUKMA dan Para SUKMA kali ke-19.

“Kerajaan negeri berbangga untuk memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta dan kita berikan sebagai tanda penghargaan kepada atlet untuk bekerja lebih semangat dan gigih supaya membawa lebih banyak kejayaan, bukan sahaja kepada negeri malah untuk negara.

“Kita turut memberikan insentif kepada atlet yang berjaya memecahkan rekod kejohanan SUKMA dan Para SUKMA,” kata beliau pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Sukan Negeri Perak 2018.

Turut hadir, YB Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Modan Insan negeri, Encik Howard Lee Chuan How.

Sementara itu, YB Encik Howard Lee berkata, majlis berkenaan turut diadakan bagi menghargai perjuangan atlet negeri yang berjuang habis-habisan untuk menjulang nama negeri di peringkat kebangsaan.

“Walaupun majlis yang diadakan untuk mereka (atlet) dan ganjaran yang diberikan agak sederhana namun mereka menunjukkan semangat berjuang demi negeri dan negara.

“Bagaimanapun, insentif dan penghargaan itu bukan penghujungnya sebaliknya permulaan kepada kejayaan yang lebih besar untuk tempoh jangka panjang,” kata beliau.

Beliau berkata, insentif itu diharap dapat menjadi cetusan ilham untuk menyumbang kepada ekonomi sukan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Menurut beliau, pelaburan berbentuk insentif adalah modal untuk mewujudkan ekonomi sukan yang mampu menjadi pelengkap kepada agenda kerajaan negeri bagi menjadikan Perak sebagai destinasi sukan antarabangsa sekali gus menarik penganjuran temasya sukan yang lebih besar di peringkat negeri hingga antarabangsa.

Kerajaan Negeri Peruntuk Insentif RM1.5 Juta Kepada Atlet Cemerlang

YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu bersama skuad ping pong PARA SUKMA Perak yang menerima insentif kerajaan negeri.

Kerajaan Negeri Peruntuk Insentif RM1.5 Juta Kepada Atlet Cemerlang

YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu bersama barisan skuad bola sepak Perak yang telah memenangi Piala Malaysia 2018.

Kerajaan Negeri Peruntuk Insentif RM1.5 Juta Kepada Atlet Cemerlang

YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu bersama pengurus pasukan skuad hoki Perak yang berjaya meraih kejuaraan Piala Razak buat kali kedua berturut-turut.

Kerajaan Negeri Peruntuk Insentif RM1.5 Juta Kepada Atlet Cemerlang

YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu bersama pasukan bola sepak SUKMA Perak yang berjaya menggenggam emas pada temasya berkenaan.

Sumber : Korporat, SUK Perak.