Penjawat Awam Negeri Perlu Tingkatkan Produktiviti Kerja : 21 Disember 2018

Penjawat Awam Negeri Perlu Tingkatkan Produktiviti Kerja

YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Tuan Haji Zainal Azman Bin Abu Seman ketika berucap pada majlis berkenaan.

IPOH, 21 DISEMBER 2018 - Kerajaan Negeri Perak berharap semua penjawat awam dapat meningkatkan produktiviti kerja demi memastikan perkhidmatan yang diberikan berada pada tahap terbaik.

YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Tuan Haji Zainal Azman Bin Abu Seman berkata, perkara itu perlu diberikan perhatian kerana kakitangan awam merupakan komponen atau tulang belakang kepada kerajaan yang mentadbir.

“Kita harap semua kakitangan awam negeri termasuk yang bekerja di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri akan dapat meningkatkan produktiviti kerja pada tahun hadapan khususnya,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan YB Setiausaha Kerajaan Negeri Bersama Pegawai dan kakitangan Kerajaan Negeri Perak di Bangunan Kerajaan Negeri.

Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) YBrs. Puan Nor Sham Binti Rahman.

Selain itu, YB Tuan Haji Zainal Azman Bin Abu Seman berkata, bagi meningkatkan produktiviti kerja, kerajaan negeri turut meluluskan bantuan kewangan khas kewangan sebanyak sebulan gaji atau minimum RM2000 akan dibayar pada 19 Disember lalu dan bulan Mei 2019.

“Ia juga sebagai motivasi dan tanda penghargaan kepada penjawat awam negeri yang berkhidmat dengan penuh komitmen dan tanggungjawab,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, selain bantuan kewangan, kerajaan negeri turut memperkenalkan pinjaman komputer dan kenderaan tanpa faedah kepada para peminjam kali pertama.

Katanya, ia akan mula dikuatkuasakan pada 1 Januari tahun depan selain dibuka kepada para penjawat awam negeri yang berminat.

“Kalau dulu pinjaman ini dikenakan bunga sebanyak 4 peratus tetapi pada tahun depan tiada sebarang caj faedah yang akan dikenakan. Bagi kita ini juga satu penghargaan kepada kakitangan awam negeri,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, kerajaan negeri akan memperkenalkan sistem waktu kerja anjal yang bertujuan memudahkan para penjawat awam untuk menguruskan masa bekerja masing-masing.

“Sistem anjal ini membabitkan dua waktu. Yang pertama, masa bekerja bermula pada pukul 8 pagi hingga 5 petang manakala yang kedua pada jam 8.30 hingga 5.30 petang.

“Kita akan laksanakan sistem ini pada tahun hadapan dan ia juga tertakluk dibawah kelulusan setiap ketua bahagian,” katanya.

Penjawat Awam Negeri Perlu Tingkatkan Produktiviti Kerja

YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Tuan Haji Zainal Azman Bin Abu Seman bersalaman dengan pegawai kerajaan negeri yang hadir pada majlis tersebut.

Penjawat Awam Negeri Perlu Tingkatkan Produktiviti Kerja

Antara kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri yang hadir pada majlis perjumpaan bersama YB Setiausaha Kerajaan Negeri.

Penjawat Awam Negeri Perlu Tingkatkan Produktiviti Kerja

YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Tuan Haji Zainal Azman Bin Abu Seman bersama pegawai dan kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Penjawat Awam Negeri Perlu Tingkatkan Produktiviti Kerja

YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Tuan Haji Zainal Azman Bin Abu Seman bersama sebahagian daripada kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri yang hadir pada majlis perjumpaan tersebut.

Sumber : Korporat, SUK Perak.