Kerajaan Negeri Berharap Oku Mohon SBGP-OKU : 9 Januari 2019

Kerajaan Negeri Berharap Oku Mohon SBGP-OKU

YB Encik A. Sivanesan ketika ditemui pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

IPOH, 9 JANUARI 2019 - Kerajaan negeri berharap lebih ramai Orang Kurang Upaya (OKU) memohon Skim Bantuan Galakan Perniagaan-OKU (SBGP-OKU) yang diperkenalkan sejak 2007 bagi membantu golongan berkenaan menjana pendapatan dalam bidang perniagaan.

YB Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia, Encik A. Sivanesan berkata, ini kerana masih ramai dalam kalangan golongan tersebut tidak mengetahui tentang skim berkenaan yang menyediakan peruntukan sekitar RM10 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

"Sejak diperkenalkan daripada Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), hanya 513 individu di kalangan OKU seluruh negara yang mengetahui dan menggunakan kemudahan yang terdapat dalam skim ini.

"Bagi saya, sambutan terhadap skim ini dilihat kurang menggalakkan dan kami berharap pihak berkepentingan seperti media sendiri dapat mempromosi skim ini dengan lebih meluas kepada golongan OKU," kata beliau pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Dalam pada itu, beliau berkata, OKU yang ingin memohon skim berkenaan perlu berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selain perlu mempunyai perniagaan yang dikendalikan sendiri oleh mereka sekurang-kurangnya dalam masa enam bulan.

"Perniagaan yang dijalankan juga harus berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) terlebih dahulu, selain permohonan juga turut boleh dibuat sama ada secara individu ataupun berkumpulan," kata beliau.

Katanya, bantuan yang disalurkan di bawah skim berkenaan juga tidak akan diberikan secara tunai sebaliknya dalam bentuk geran bagi menaik taraf peralatan, ubah suai premis, promosi dan sebagainya.

Dalam perkembangan lain, YB Encik A. Sivanesan yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungkai turut menjelaskan sebanyak RM500,000 diperuntukkan kerajaan negeri bagi aktiviti, program dan bantuan yang tertakluk di bawah bidang sumber manusia.

Beliau berkata, peruntukan yang telah diluluskan di bawah Belanjawan Perak 2019 itu turut membuktikan keprihatinan kerajaan negeri dalam membantu rakyat negeri.

"Peruntukan ini menjurus ke arah bantuan terhadap golongan pekerja yang dipecat daripada jawatan, aktiviti seperti membantu golongan pekerja untuk menuntut bantuan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan bantuan untuk OKU sendiri," ujar beliau.

Kerajaan Negeri Berharap Oku Mohon SBGP-OKU

Antara media yang hadir pada sidang media YB Encik A. Sivanesan.

Sumber : Korporat, SUK Perak.