Perak Berpotensi Jadi Pengeluar Komoditi Air Mentah Di Malaysia : 11 Januari 2019

Perak Berpotensi Jadi Pengeluar Komoditi Air Mentah Di Malaysia

YB Tuan Abdul Yunus Bin Jamahari menerima poster daripada Pengarah Pusat Kajian Pantai & Osenaografi, Ir Hj Mohd Radzi Bin Abdul Hamid.

IPOH, 11 JANUARI 2019 - Kerajaan negeri sedang bekerjasama dengan Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) bagi mempertingkatkan kualiti air selari dengan potensi Perak menjadi antara pengeluar komoditi air mentah di Malaysia.

YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Tuan Haji Zainal Azman Bin Abu Seman berkata, perkara itu ditekankan kerana kajian menunjukkan sumber air mentah yang dimiliki oleh Negeri Perak mencukupi untuk keperluan domestik selain berpotensi untuk dijadikan komoditi ke negeri-negeri jiran.

“Selain itu, lembangan Sungai Perak merangkumi 70 peratus daripada keluasan Negeri Perak. Oleh yang demikian, NAHRIM sedang menjalankan kajian bagi membantu kerajaan negeri bagi mempertingkatkan kualiti air sekali gus berupaya menjana ekonomi negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media rasmi yang dikeluarkan.

Beliau berkata, polisi urus Tadbir sumber air Negeri Perak juga perlu diteliti dan di perkasa bagi memastikan pengurusan air yang lebih efisien ke arah sekuriti, kelestarian dan adaptasi sumber air bertaraf dunia.

Selain itu, dalam perkembangan lain, wakil NAHRIM semasa kunjungan ke Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri menjelaskan kerjasama antara kedua-dua pihak penting bagi meneliti sejauh mana isu dan permasalahan berkaitan air dapat dikenal pasti sekali gus diatasi.

Melalui kunjungan itu juga, wakil NAHRIM telah mengedarkan 1000 keping poster dan pelekat kenderaan bertemakan selamatkan bumi kita selain selamatkan air kita yang bertujuan meningkatkan kesedaran umum terhadap kepentingan air serta persekitaran sekeliling.

Dalam pada itu, ia juga sebagai satu promosi kepada NAHRIM yang diketahui merupakan sebuah institusi penyelidikan yang menyediakan kepakaran dan perkhidmatan berasaskan air.

Perak Berpotensi Jadi Pengeluar Komoditi Air Mentah Di Malaysia

YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Tuan Haji Zainal Azman Bin Abu Seman ketika sesi perkongsian maklumat berkaitan kajian oleh NAHRIM.

Perak Berpotensi Jadi Pengeluar Komoditi Air Mentah Di Malaysia

Antara wakil jabatan dan agensi kerajaan negeri yang terlibat dalam sesi perkongsian maklumat berkenaan.

Perak Berpotensi Jadi Pengeluar Komoditi Air Mentah Di Malaysia

YB Tuan Abdul Yunus Bin Jamahari menunjukkan pelekat kenderaan yang disampaikan oleh Pengarah Pusat Kajian Pantai & Oseanografi,Ir. Hj. Mohd Radzi Bin Abdul Hamid.

Perak Berpotensi Jadi Pengeluar Komoditi Air Mentah Di Malaysia

YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Tuan Haji Zainal Azman Bin Abu Seman menerima cenderahati daripada Pengarah Pusat Kajian Pantai dan Oseanografi NAHRIM, Ir Hj Mohd Radzi Bin Abdul Hamid.

Perak Berpotensi Jadi Pengeluar Komoditi Air Mentah Di Malaysia

YB Tuan Abdul Yunus Bin Jamahari menyampaikan cenderahati kepada Pengarah Pusat Kajian, Pantai & Oseanografi, Ir Hj. Mohd Radzi Bin Abdul Hamid.

Sumber : Korporat, SUK Perak.