Kakitangan Pejabat Kewangan Negeri Perlu Beri Komitmen Tak Berbelah Bahagi : 11 Januari 2019

Kakitangan Pejabat Kewangan Negeri Perlu Beri Komitmen Tak Berbelah Bahagi

YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Abu Bakar Bin Haji Said ketika berucap pada majlis berkenaan .

IPOH, 11 JANUARI 2019 - Setiap kakitangan Pejabat Kewangan Negeri Perak diminta untuk memberikan komitmen dan usaha tidak berbelah bahagi dalam memastikan sasaran yang lebih cemerlang dapat direalisasikan pada tahun 2019.

YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Abu Bakar Bin Haji Said berkata, meskipun mengakui perlu menempuhi pelbagai cabaran dan kekangan namun beliau optimis ia mampu diatasi sepertimana tahun lalu.

“Maka saya pohon semua untuk bersama di belakang saya, memberi segala komitmen dan idea, untuk memastikan tanda aras 2018 yang cemerlang dapat kita atasi.

“Benarlah dugaan itu sukar tetapi saya percaya, selagi ada daya dan usaha kita mampu menempuhinya bersama,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi & Perutusan Tahun 2019 oleh YB Dato’ Pegawai Kewangan Negeri di Hotel Casuariana@Meru.

Turut hadir Bendahari Negeri, Puan Fuziah Binti Derasa, Timbalan Pegawai Kewangan Negeri, Cik Aida Hazlyn Binti Hassan dan Ketua Penolong Pegawai Kewangan Negeri Kanan, Puan Tengku Siliawati Bin Tengku Salim.

Beliau berkata, antara penambahbaikan perlu dilakukan oleh setiap kakitangan Pejabat Kewangan Negeri adalah menyegerakan setiap tugasan yang diberikan selain perlu menyimpan rahsia dan maklumat jabatan.

“Setiap kakitangan perlu menyelesaikan ‘task’ dan tidak menangguhkan kerja. Jika ia perlukan masa, susun keutamaan dan bawalah berbincang agar ia dapat diselesaikan dengan baik.

“Manakala bagi sudut kerahsiaan maklumat, apa sahaja bentuk perbincangan dan maklumat perlulah dianggap sulit, melainkan bagi maksud pelaksanaan perkhidmatan. Beringatlah, sebelum kita terjerat,” kata beliau.

Tambah beliau, pihaknya juga berharap semua warga kerja memastikan pelaksanaan Myportfolio diselesaikan selewat-lewatnya sebelum 1 Februari 2019.

“Key Performances Index (KPI) rasmi yang lain juga perlu dicapai sepenuhnya bagi tahun ini termasuklah kehadiran kursus tujuh hari untuk semua kakitangan dan pelaksanaan mesyuarat mengikut keperluan,” ujar beliau.

Kakitangan Pejabat Kewangan Negeri Perlu Beri Komitmen Tak Berbelah Bahagi

YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Abu Bakar Bin Haji Said menyampaikan cenderahati kepada Encik Ahmad Kamil Bin Mohamad Ghazali yang bersara setelah 38 tahun berkhidmat dalam perkhidmatan awam.

Kakitangan Pejabat Kewangan Negeri Perlu Beri Komitmen Tak Berbelah Bahagi

YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Abu Bakar Bin Haji Said menyampaikan sijil penghargaan kepada Datin Rozita Binti Aminuddin yang bertukar ke Kementerian Kesihatan Malaysia.

Kakitangan Pejabat Kewangan Negeri Perlu Beri Komitmen Tak Berbelah Bahagi

YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Abu Bakar Bin Haji Said menyampaikan sijil penghargaan kepada Puan Azah Binti Haji Saadi  yang bersara setelah berkhidmat selama 37 tahun dalam perkhidmatan awam.

Kakitangan Pejabat Kewangan Negeri Perlu Beri Komitmen Tak Berbelah Bahagi

YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Abu Bakar Bin Haji Said menyampaikan sijil penghargaan kepada Puan Radiah Binti Baharuddin yang bersara selepas 37 tahun berkhidmat dalam perkhidmatan awam.

Kakitangan Pejabat Kewangan Negeri Perlu Beri Komitmen Tak Berbelah Bahagi

YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Abu Bakar Bin Haji Said menyampaikan cenderahati kepada Encik Mohd Noorsyafizal Bin Che Lan @ Ahmad yang bertukar ke Kementerian Wilayah Persekutuan.

Sumber : Korporat, SUK Perak.