Lebih 2000 Rumah Mesra Milik Perakku Akan Dibina Di Perak : 22 Januari 2019

Lebih 2000 Rumah Mesra Milik Perakku Akan Dibina Di Perak

YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Tuan Haji Zainal Azman Bin Abu Seman bersama wakil syarikat King Ong Development, Datuk Koh King Ong yang menandatangani perjanjian pembinaan perumahan di Sitiawan.

IPOH, 22 JANUARI 2019 - Kerajaan negeri menerusi Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) dan Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI) menjalinkan kerjasama dengan empat syarikat pemaju perumahan untuk membina hampir 2,000 unit rumah mampu milik di bawah Program Rumah Mesra Milik Perakku.

YAB Menteri Besar Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu berkata, rumah yang bakal siap dalam tempoh dua atau tiga tahun itu adalah membabitkan LPHP dengan syarikat King Ong Development Sdn Bhd, Tract Evo Sdn Bhd dan Mimbar Nusantara Homes Sdn Bhd manakala SSI bersama syarikat Bimbingan Simfoni Sdn Bhd.

"Ia melibatkan 1,684 unit rumah iaitu 326 unit rumah kos rendah, 66 unit rumah kos sederhana dan 1,292 unit rumah mampu milik di empat lokasi terpilih iaitu di Stesen Temoh, Mukim Chenderiang, Batang Padang sebanyak 338 unit, Kampung Serdang, Manjung sebanyak 447 unit, Tanjung Tualang, Kampar 301 unit dan Tanah Hitam, Kinta sebanyak 598 unit," ujar beliau. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Antara YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Tuan Haji Zainal Azman Bin Abu Seman bersama syarikat-syarikat pemaju perumahan berkenaan di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri melalui agensi-agensinya seperti SSI, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) juga telah merancang dan sedang melaksanakan kira-kira 10,000 unit skim-skim perumahan mampu milik yang dijangka siap tahun ini. 

"Saya berharap dengan inisiatif kerajaan negeri ini projek-projek ini serba sedikit dapat menceriakan golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) yang menyimpan hasrat untuk memiliki rumah sendiri sebagai tempat berteduh dan juga sebagai aset peribadi untuk membesarkan anak-anak serta keluarga.

"Selain daripada itu, projek-projek perumahan yang dirancang ini juga akan dapat menyumbangkan kepada 'gross domestic product (GDP)' (keluaran dalam negara kasar)  kepada negeri serta menjana pelbagai peluang ekonomi kepada penduduk setempat,” kata beliau.

Mengulas mengenai pemilihan kriteria pemaju, YAB Datuk Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu berkata kerajaan negeri terlebih dahulu telah meneliti kelebihan dan kekuatan syarikat sebelum menjalinkan kerjasama dengan agensi kerajaan bagi menghindari masalah projek tergendala.

“Keempat-empat syarikat kita kerjasama ini perlu ambil maklum bahawa ada harapan besar diletakkan kepada anda untuk menyiapkan projek seperti yang dirancang,” kata beliau. 

Selain itu, beliau berkata, kerajaan negeri turut menyasarkan pembinaan 50,000 rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun.

Lebih 2000 Rumah Mesra Milik Perakku Akan Dibina Di Perak

YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Tuan Haji Zainal Azman Bin Abu Seman bersama wakil syarikat, Bimbingan Simfoni Sdn Bhd, Tan Sri Lim Hock San yang menandantangani perjanjian pembinaan perumahan di Temoh.

Lebih 2000 Rumah Mesra Milik Perakku Akan Dibina Di Perak

YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu ketika meneliti replika Rumah Mesra Milik Perakku yang bakal dibangunkan.

Lebih 2000 Rumah Mesra Milik Perakku Akan Dibina Di Perak

YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Tuan Haji Zainal Azman Bin Abu Seman bersama wakil syarikat Tract Evo Sdn Bhd, Puan Lean Suok Huay yang menandatangani perjanjian pembangunan perumahan di Kampar.

Lebih 2000 Rumah Mesra Milik Perakku Akan Dibina Di Perak

YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Tuan Haji Zainal Azman bersama wakil syarikat Mimbar Nuzantara Homes Sdn Bhd yang menandatangani perjanjian pembangunan perumahan di Tanah Hitam.

Lebih 2000 Rumah Mesra Milik Perakku Akan Dibina Di Perak

YAB Menteri Besar bersama para pemaju yang akan membina perumahan Perakku di sekitar negeri ini.

Lebih 2000 Rumah Mesra Milik Perakku Akan Dibina Di Perak

YAB Menteri BesarPerak ketika berucap dalam sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian pembinaan perumahan.

Sumber : Korporat, SUK Perak.