GLC Perlu Kerjasama Erat Bersama Kerajaan Negeri : 29 Januari 2019

GLC Perlu Kerjasama Erat Bersama Kerajaan Negeri

YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu ketika menyampaikan ucapan dalam Executive Talk dan Amanat Tahun Baru.

IPOH, 29 JANUARI 2019 - Semua syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC), agensi dan jabatan kerajaan di negeri ini diminta untuk menjalinkan kerjasama erat dan bukannya hanya melaksanakan tugas secara bersendirian.

YAB Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Faizal Bin Dato’ Azumu berkata, kesemua GLC, agensi dan jabatan kerajaan mempunyai peranan masing-masing namun perlu berbincang bagi membolehkan setiap urusan berjalan lancar.

"Cumanya seperti yang saya katakan tadi, jangan pula dalam mesyuarat (bersama) itu masing-masing cuba bersikap untuk menolak tanggungjawab kepada agensi yang lain. 

"Sewajarnya mesyuarat diadakan membincangkan mengenai kelompongan yang boleh diisi oleh agensi atau jabatan terbabit dan bukannya saling mengelak daripada menjalankan tugas," kata beliau dalam ucaptama Executive Talk dan Amanat Tahun Baru di Hotel Kinta Riverfront.

Yang turut hadir Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) negeri; YB Penasihat Undang-Undang negeri, Dato’ Rohana Bin Abd Malek dan YB Pegawai Kewangan negeri, Dato’ Abu Bakar Bin Haji Said.

Sementara itu, YAB Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Faizal Bin Dato’ Azumu dalam ucaptama sama turut mengingatkan GLC dan badan berkanun kerajaan negeri untuk bersikap proaktif kepada hasrat selain dasar kerajaan negeri sekali gus merealisasikan hasrat yang ingin dicapai.

"Saya beri contoh, bagaimana kita dapat membantu masyarakat orang Asal (orang Asli) dengan mengambil kampung-kampung mereka sebagai kampung angkat, saya percaya, GLC kita mempunyai kelebihan untuk membantu meningkatkan sosio-ekonomi di kampung angkat berkenaan.

"Kita mahu GLC untuk terbabit secara langsung dalam mewujudkan peluang pekerjaan, peluang perniagaan dan paling penting pendidikan anak-anak Orang Asal yang diyakini mampu mengubah kehidupan mereka ke arah lebih baik.

"Namun setelah menanti selama tujuh bulan sejak dari tarikh saya menguar-uarkan hasrat itu kepada media, cuma ada dua saja GLC yang menyambut hasrat itu iaitu Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) dan Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc.), Di mana agaknya GLC-GLC lain? ," ujar beliau.

Beliau berkata, selain daripada PPPNP dan MB Inc, tiada langsung mana-mana GLC lain yang datang untuk menawarkan diri bagi menyambut hasrat kerajaan negeri itu dan seharusnya mereka mengambil tanggungjawab untuk berkongsi keuntungan diperoleh dengan masyarakat di perkampungan orang Asli.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa kakitangan kerajaan supaya mengurangkan birokrasi dan membantu sesiapa saja yang datang untuk berurusan dengan kaunter-kaunter jabatan kerajaan.

"Bab birokrasi dalam berurusan ini, bukan saja terjadi kepada kebanyakan orang, malah kepada diri saya sendiri, perkara ini baru saja berlaku tidak sampai sebulan lepas, ketika berurusan dengan sebuah jabatan kerajaan, saya diberitahu urusan tersebut tidak dapat diproses kerana pegawai bertanggungjawab bercuti selama dua minggu.

"Bagi saya perkara sebegini betul-betul mengarut, itu kena pada saya sendiri, tak apalah kerana urusan itu dibantu oleh pegawai. 

"Persoalannya, bagaimana dengan makcik, pakcik yang sudah berusia emas dan tidak berpelajaran, yang datang jauh dari kampung, mungkin bersusah payah menaiki bas atau menunggang motosikal dalam keadaan hujan mahupun panas untuk ke pejabat jabatan itu?," kata beliau.

Lima fokus utama yang perlu diberi penumpuan 

Bermula tahun ini, YAB Menteri Besar Perak menggesa setiap kakitangan awam supaya menetapkan beberapa matlamat utama yang mesti dicapai bagi memberi faedah khususnya kepada rakyat dan kemajuan negeri.  

  1. Meningkatkan hasil kerajaan negeri 

Semua pentadbir tanah mesti berusaha menaikkan hasil negeri dengan memastikan segala tunggakan dapat diperoleh secara berhemah. Kita perlu memikirkan dan menggunakan idea-idea kreatif dan inovatif untuk menjayakan agenda itu. Jika cara yang sudah lama diguna pakai ketika ini gagal mendatangkan hasil seperti diharapkan, maka kita perlu membuat perubahan. 

  1. Memperkasa Sistem Penyampaian 

Untuk bergerak ke depan, kita perlu melihat bagaimana untuk meningkatkan sistem penyampaian kerajaan negeri. Sebagai permulaan, kita akan menubuhkan jawatankuasa bersama untuk mengkaji semula semua SOP sedia ada bagi mengatasi birokrasi dan  mengurangkan pertindihan tugas bagi meningkatkan kecekapan melalui satu sistem yang lebih ringkas dan berkesan.

  1. Memudahkan akses rakyat kepada kerajaan

Bagi memudahkan akses rakyat kepada program-program prihatin rakyat khususnya melibatkan kebajikan dan perumahan kita akan mengkaji keperluan mewujudkan satu call centre (pusat panggilan) bagi memusatkan semua urusan yang melibatkan pelbagai agensi.

Melalui kaedah ini, urusan dengan jabatan dan agensi kerajaan akan dipermudahkan dan lebih efektif. Kita juga akan mengkaji kemungkinan memperluaskan sistem ini kepada Pihak Berkuasa Tempatan di seluruh negeri Perak, sekali gus meningkatkan sistem penyampaian di peringkat daerah-daerah.

  1. Inisiatif Kerajaan Digital 

Bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan pengurusan projek kerajaan dan GLC, kita akan memperkenalkan beberapa inisiatif digital. Inisiatif ini bukan sahaja akan dapat meningkatkan kecekapan agensi kerajaan, tetapi juga dapat mengurangkan risiko berlakunya rasuah dan salah.

Sebagai contoh, kita akan memperkenalkan Digital Project Monitoring system yang membolehkan semua pihak yang terlibat untuk memantau perkembangan semasa projek-projek kerajaan dan GLC secara di atas talian. Ini sekali gus akan membantu dalam memantau sekiranya berlaku sebarang masalah atau kelewatan, yang boleh menyebabkan kerugian kepada kerajaan dan GLC. Inisiatif digital ini akan diperluaskan kepada bidang-bidang lain.

  1. Memulihkan syarikat GLC negeri  

Antara isu utama adalah soal kecekapan pengurusan di beberapa GLC yang menyebabkan syarikat-syarikat ini tidak berdaya saing dan menghadapi masalah kedudukan kewangan yang lemah. Walau bagaimanapun, setelah pengurusan baru mengambil alih dan memperkenalkan beberapa strategi jangka pendek, Alhamdulillahlah kita sudah melihat beberapa perkembangan yang positif, seperti MAPS dan MB Inc.

Syarikat-syarikat kini berada dalam landasan yang betul untuk proses pemulihan. Saya ingin melihat GLC-GLC ini lebih cemerlang dan berdaya saing, seterusnya dapat membantu kerajaan dalam membangunkan negeri Perak. Bagi tujuan ini saya menyeru supaya syarikat-syarikat GLC negeri untuk memberi fokus kepada objektif penubuhan syarikat masing-masing supaya dapat elakkan pertindihan fungsi dan bersaing sesama sendiri. Saya juga akan meletakkan KPI untuk mengukur prestasi semua GLC dan akan memantau perkembangan mereka setiap 6 bulan.

GLC Perlu Kerjasama Erat Bersama Kerajaan Negeri

Antara Ketua Jabatan negeri dan persekutuan yang hadir dalam majlis tersebut.

GLC Perlu Kerjasama Erat Bersama Kerajaan Negeri

YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu bersama barisan exco dan kakitangan kerajaan negeri yang hadir dalam program berkenaan.

GLC Perlu Kerjasama Erat Bersama Kerajaan Negeri

YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu ketika menyampaikan ucapan dihadapan pegawai dan kakitangan kerajaan yang hadir pada majlis tersebut.

GLC Perlu Kerjasama Erat Bersama Kerajaan Negeri

YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu beramah mesra dengan pegawai kerajaan negeri yang hadir dalam program terbabit.

GLC Perlu Kerjasama Erat Bersama Kerajaan Negeri

Pegawai Daerah Kuala Kangsar, Encik Ahmad Munir Bin Ishak mengetuai bacaan ikrar integriti bagi kakitangan kerajaan negeri.

Sumber : Korporat, SUK Perak.