1200 Anggota Penguatkuasa Bertugas Sempena Ops Bersepadu Tahun Baharu Cina : 1 Februari 2019

1200 Anggota Penguatkuasa Bertugas Sempena Ops Bersepadu Tahun Baharu Cina

YB Tuan Abdul Yunus Bin Jamahari ketika menyerahkan goodies bag kepada para pengguna jalan raya di Hentian RnR Bukit Gantang.

BUKIT GANTANG, 1 FEBRUARI 2019- Seramai 1200 penguat kuasa melibatkan pasukan beruniform telah ditugaskan sepanjang Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Perayaan Tahun Baharu Cina 2019.

YB Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan, Tuan Abdul Yunus Bin Jamahari berkata, ke semua mereka akan ditempatkan di 15 'hot spot' yang dikenal pasti sebagai kawasan kemalangan maut.

Beliau berkata, antara faktor Ops bersepadu dan kempen itu dilaksanakan adalah bertujuan untuk meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya mengenai keselamatan jalan raya pada musim perayaan di samping mengawal selia pergerakan kenderaan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.

"15 kawasan panas itu meliputi Jalan Persekutuan, Jalan Bandaran, Jalan Negeri dan Lebuhraya Utara Selatan di kesemua daerah di Perak kecuali daerah Kerian yang kerap berlaku kemalangan maut.

"Kerajaan berharap penerapan inisiatif kempen ini dapat memastikan usaha menangani statistik kemalangan maut sepanjang musim perayaan dapat ditangani dengan sebaiknya," ujar beliau.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya Bersempena Tahun Baru Cina peringkat negeri di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bukit Gantang arah utara.

Turut hadir Pemangku YDH Ketua Polis Perak, Dato' Razarudin Bin Husain@Abd Rashid, YBrs Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Puan Norsham Binti Rahman dan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan(JPJ) Perak, Tuan Mohd Zawawi Bin Zakaria.

Sementara itu, YDH Datuk Razarudin Bin Husain@Abd Rashid berkata, keseluruhan pengguna jalan raya di negeri Perak masih menunjukkan tahap pemanduan berhemah sepanjang tiga hari Ops Bersepadu dijalankan apabila tiada rekod kemalangan maut dicatatkan berbanding 10 kes pada tempoh waktu sama.

Menurut beliau, pengguna jalan raya dilihat lebih mematuhi undang-undang keselamatan jalan raya berbanding tahun lalu dan perkembangan baik diharapkan dapat diteruskan pada sepanjang tempoh Ops Bersepadu dijalankan.

"Cuma kita akan terus mengenakan tindakan tegas kepada mana-mana pengguna yang masih berdegil melakukan tujuh kesalahan lalu lintas utama iaitu tidak mematuhi lampu isyarat, memotong di garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, memotong barisan, tidak memakai tali pinggang keledar, memandu di lorong kanan secara berterusan dan memandu di lorong kecemasan,"kata beliau.

1200 Anggota Penguatkuasa Bertugas Sempena Ops Bersepadu Tahun Baharu Cina

YB Tuan Abdul Yunus Bin Jamahari berucap dalam Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Perayaan Tahun Baharu Cina 2019.

1200 Anggota Penguatkuasa Bertugas Sempena Ops Bersepadu Tahun Baharu Cina

YB Tuan Abdul Yunus Bin Jamahari ketika melacarkan perasmian ops bersepadu dan kempen jalan raya yang diadakan.

1200 Anggota Penguatkuasa Bertugas Sempena Ops Bersepadu Tahun Baharu Cina

YB Tuan Abdul Yunus Bin Jamahari ketika menyampaikan hadiah kepada para pemenang cabutan bertuah.

1200 Anggota Penguatkuasa Bertugas Sempena Ops Bersepadu Tahun Baharu Cina

YB Tuan Abdul Yunus Bin Jamahari ketika melakukan 'flag off' melibatkan penguatkuasa yang bertugas dalam ops bersepadu dan kempen jalan raya berkenaan.

Sumber : Korporat, SUK Perak.