Kerajaan Negeri Rancang Pelancongan ‘River Cruise’ Di Manjung : 1 Februari 2019

Kerajaan Negeri Rancang Pelancongan ‘River Cruise’ Di Manjung

YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu menyampaikan replika kunci kepada Encik Asmadi Bin Mohd Yusof.

BERUAS, 1 FEBRUARI 2019- Kerajaan negeri Perak sedang dalam perancangan untuk menyediakan bot pelancong ‘river cruise’ menyusuri Sungai Dinding bagi mengembangkan lagi industri pelancongan di daerah Manjung.

YAB Menteri Besar Perak Dato’ Seri Ahmad Faizal bin Dato’ Azumu berkata perancangan tersebut akan dilaksanakan dengan kerjasama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta yang berminat untuk melabur dalam industri tersebut.

"Kami mendapati (perkhidmatan) ‘river cruise’ ini amat sesuai untuk dibuat (menyusuri) di Sungai Dinding tapi dalam masa yang sama kerajaan negeri (berharap untuk) tidak mahu membelanjakan sejumlah wang yang besar, untuk sesuatu perkara yang bawa pulangan yang agak panjang.

“Justeru itu, kira akan berusaha mendapatkan kerjasama pihak swasta dan saya menyeru dan menjemput pihak swasta untuk ke depan berhubung dengan Pejabat Daerah atau kerajaan negeri untuk memajukan ‘river cruise’ bersama,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Dataran Beruas dan menyerahkan geran hak milik tanah dan lesen pendudukan sementara (TOL) kepada 38 individu sempena lawatan kerjanya ke daerah Manjung dekat sini hari ini.

YAB Dato’ Seri Ahmad Faizal Bin Dato’ Azumu berkata, kerajaan negeri sentiasa menyokong dan mengambil tahu segala pelan yang dirancang pihak pejabat daerah Manjung dalam merancakkan ekonomi setempat selain berupaya menjadi penjana ekonomi terbesar di Perak.

“Manjung merupakan daerah yang begitu luas dan mempunyai kawasan begitu sesuai untuk sektor tanaman dan industri pelancongan, semuanya dalam satu daerah.

“Saya akan sentiasa memberi sokongan dan bekerjasama dengan lebih rapat dengan pejabat daerah Manjung bagi memastikan segala perancangan dapat dicapai secepat mungkin dan saya yakin ia akan disambut baik masyarakat setempat,” kata beliau.

Sementara itu, Pegawai Daerah Manjung, YBhg Dato’ Haji Mohamad Fariz Bin Mohamad Hanip berkata, perkhidmatan itu akan diuruskan Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dengan akan menyediakan pelbagai infrastruktur di lokasi-lokasi yang terlibat.

Beliau berkata, perkhidmatan bot pelancong itu akan bermula dari Jeti Lumut Waterfront dan akan melibatkan empat hentian iaitu di Kampung Sitiawan, Kampung Bharu, Kampung Teluk dan Kampung Telaga Nenas sebelum berakhir di Kampung Beting Luas di Changkat Kruing.

“Kita merancang untuk membuat baik-pulih di setiap kampung yang terlibat bagi mencantikkan dan memastikan keselamatan pengunjung sentiasa diutamakan.

“Kita jangka perkhidmatan itu akan mengambil perjalanan selama satu jam sehala dan pengunjung boleh berhenti di setiap hentian untuk menikmati tarikan berlainan di setiap kampung seperti makanan kampung dan produk perikanan serta pemandangan paya bakau,” kata beliau.

Kerajaan Negeri Rancang Pelancongan ‘River Cruise’ Di Manjung

Rumah Perakku yang dibina di Taman Wazir, Batu 10, Lekir.

Kerajaan Negeri Rancang Pelancongan ‘River Cruise’ Di Manjung

YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu mendengar taklimat yang disampaikan oleh YBhg Pegawai Daerah dan Tanah Manjung, YBhg Dato’ Haji Mohamad Fariz Bin Mohamad Hanip.

Kerajaan Negeri Rancang Pelancongan ‘River Cruise’ Di Manjung

YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu menyampaikan Borang 5A kepada Puan Badariah Binti Nagi yang merupakan penduduk RPT Sungai Tiram, Mukim Lekir.

Kerajaan Negeri Rancang Pelancongan ‘River Cruise’ Di Manjung

YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu bersama kakitangan Pejabat Daerah dan Tanah Manjung.

Kerajaan Negeri Rancang Pelancongan ‘River Cruise’ Di Manjung

YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu ketika lawatan dalam Pejabat Daerah dan Tanah Manjung.

Sumber : Korporat, SUK Perak.