Kelab Kesedar Perlu Beri Tumpuan Terhadap Program Berbentuk Keusahawanan : 11 Februari 2019

Kelab Kesedar Perlu Beri Tumpuan Terhadap Program Berbentuk Keusahawanan

YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Tuan Haji Zainal Azman Bin Abu Seman ketika menyampaikan ucapan dalam mesyuarat agung tersebut.

IPOH, 11 FEBRUARI 2019- YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Tuan Haji Zainal Azman Bin Abu Seman meminta supaya jawatankuasa baru Kelab Seri Perak Darul Ridzuan (KESEDAR) memperbanyakkan program-program berbentuk keusahawanan.

Beliau berkata, perkara itu ditekankan kerana program berbentuk keusahawanan memberi kelebihan khususnya kepada penjawat awam dalam kalangan golongan B40 untuk mencari idea untuk meningkatkan pendapatan.

“Saya rasa kelab KESEDAR boleh adakan program-program berbentuk keusahawanan pula selepas ini dengan bantuan pelbagai jabatan dan kementerian yang terlibat dalam hal dan skop keusahawanan.

“Ia sedikit sebanyak mampu memberi motivasi dan galakkan kepada ahli kelab untuk meningkatkan pendapatan harian sepertimana pernah diumumkan beberapa tahun lalu,” ujar beliau ketika berucap pada Mesyuarat Agung KESEDAR Kali Ke-24 di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Hadir sama YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Abu Bakar Bin Haji Said dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), YBrs Puan Nor Sham Binti Rahman.

Tambah beliau, jawatankuasa kelab KESEDAR juga boleh memperbanyakkan lagi aktiviti luar berbentuk ‘team building’ atau sukan yang memberi penekanan terhadap aktiviti luar.

Kata beliau, ia bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan antara ahli malah mampu dijadikan sebagai aktiviti yang memberi kebaikan kepada kesihatan diri.

“Saya berharap ada kreativiti daripada jawatankuasa baru ini untuk membuat program-program luar yang berbentuk team building dengan lebih giat lagi.

“Perkara ini penting dalam memberi pendedahan kepada setiap ahli kelab terutama dalam memastikan hubungan antara ahli dapat dipererat selain pada masa yang sama ia mampu membantu dalam menjaga kesihatan diri,” katanya.

Kelab Kesedar Perlu Beri Tumpuan Terhadap Program Berbentuk Keusahawanan

Sebahagian daripada ahli Kelab KESEDAR yang melakukan pendaftaran sebelum mesyuarat agung.

Kelab Kesedar Perlu Beri Tumpuan Terhadap Program Berbentuk Keusahawanan

YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Abu Bakar Bin Haji Said menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada Encik Mohd Zamzuri Bin Abas.

Kelab Kesedar Perlu Beri Tumpuan Terhadap Program Berbentuk Keusahawanan

Ahli KESEDAR yang mengangkat tangan bagi mengundi jawatankuasa baru kelab berkenaan.

Kelab Kesedar Perlu Beri Tumpuan Terhadap Program Berbentuk Keusahawanan

YBrs Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Puan Nor Sham Binti Rahman ketika berucap dalam mesyuarat agung tersebut.

Sumber : Korporat, SUK Perak.