Hampir 35,000 Individu Guna Aplikasi Park@Perak Sejak 1 Januari 2019 : 20 Februari 2019

 Hampir 35,000 Individu Guna Aplikasi Park@Perak Sejak 1 Januari 2019

YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu merasmikan pelancaran aplikasi Park@Perak selepas sidang media yang diadakan.

IPOH, 20 FEBRUARI 2019 - Kerajaan negeri menegaskan hampir 35,000 individu dari dalam dan luar Perak telah menggunakan aplikasi Park@Perak secara aktif sejak ia mula diperkenalkan pada 1 Januari lalu.

YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu berkata, aplikasi berkenaan bukan sahaja memudahkan malah menjadi alternatif tambahan bagi menampung penggunaan kupon fizikal dalam urusan pembayaran caj parkir kenderaan. 

"Penggunaan aplikasi ini telah memperlihatkan terciptanya satu lagi inovasi baru dalam pengurusan tempat parkir di mana orang awam boleh membuat pembayaran melalui hujung jari dengan hanya menggunakan telefon pintar. 

"Selain itu, ia juga unik kerana telah berjaya menggabungkan pengurusan tempat parkir ini secara seragam meliputi 15 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Perak dan diselaraskan oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI)," ujar beliau. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Pengurusan Tempat Letak Kereta Seragam Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Perak Melalui Aplikasi Park@Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Menurut beliau, aplikasi itu juga akan disediakan dalam dwibahasa iaitu Bahasa Melayu dan Inggeris bermula awal April ini, selepas menerima lebih 1000 maklum balas daripada para pengguna terutama golongan belia. 

"Selain penambahan daripada aspek dwibahasa, para pengguna juga akan boleh mencetak sendiri resit penggunaan aplikasi Park@Perak," kata beliau. 

Sementara itu, YB Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri, Tuan Yong Choo Kiong berkata, pihaknya meminta semua PBT supaya menghabiskan penjualan kupon parkir masing-masing sebelum 31 Mac ini. 

Beliau berkata, ini kerana kupon parkir baharu akan dikeluarkan selepas tarikh berkenaan selain kadar caj yang ditetapkan adalah sama meliputi 15 PBT yang terdapat di Perak. 

"Selain aplikasi Park@Perak, penggunaan kupon kita akan teruskan cuma ia akan berwajah baru dan diseragamkan melalui kadar caj yang telah ditetapkan. 

"Sebagai contoh, kadar caj parkir yang ditetapkan di semua PBT selepas kupon baru ini dikeluarkan adalah RM0.30 sen selama 30 minit (penggunaan parkir), RM0.60 sen selama satu jam dan RM4 untuk penggunaan selama sehari," kata beliau.

 Hampir 35,000 Individu Guna Aplikasi Park@Perak Sejak 1 Januari 2019

YB Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri, Tuan Yong Choo Kiong ketika ditemui pada sidang media yang diadakan.

Sumber : Korporat, SUK Perak.