Sambutan Hari Wanita Antarabangsa Peringkat Negeri Perak 2019 Iktiraf Sumbangan Dan Peranan Wanita : 1 Mac 2019

Sambutan Hari Wanita Antarabangsa Peringkat Negeri Perak 2019 Iktiraf Sumbangan Dan Peranan Wanita

YB Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Sosial, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Puan Wong May Ing bersama beberapa agensi yang akan terlibat dalam sambutan hari wanita itu.

IPOH, 1 MAC 2019 - Sambutan Hari Wanita Antarabangsa Peringkat Negeri Perak 2019 yang bertemakan 'Seimbang Untuk Sejahtera' dianjurkan bertujuan memberi pengiktirafan terhadap peranan selain sumbangan wanita dalam pembangunan di peringkat negeri dan negara.

YB Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Sosial, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Puan Wong May Ing berkata, program yang akan berlangsung pada 9 dan 10 Mac di Aeon Big Falim itu melibatkan 40 pertubuhan daripada pelbagai agensi termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan individu perseorangan. 

Beliau berkata, semua pertubuhan itu akan terlibat secara langsung dalam pelbagai pengisian yang merangkumi bidang keusahawanan, kesenian, kesihatan dan sebagainya. 

"Antara agensi yang akan terlibat adalah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam (PUSPANITA), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Perak, MamaCare, Sama Sama, Pink Champion,dan lain-lain. 

"Semua pertubuhan itu juga akan terlibat secara langsung dalam pengisian program berbentuk seminar, forum dan bengkel. Ada di antaranya juga akan membuka gerai-gerai jualan produk kraf tangan dan kecantikan untuk para wanita," kata beliau pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan. 

Selain itu, beliau turut menjangkakan seramai 10,000 pengunjung terdiri di kalangan warga negeri akan menyertai sambutan yang berlangsung setiap tahun itu. 

"Walaupun program ini lebih ke arah golongan wanita namun kita amat alu-alukan penyertaan kaum lelaki dalam memastikan mereka memahami peranan, kepentingan dan sokongan yang diperlukan oleh wanita," ujar beliau. 

Sementara itu, Pengerusi MamaCare Perak, Puan Asma Binti Ahmad berkata, program itu dilihat memberi ruang kepada masyarakat untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkaitan perkhidmatan dan kepentingan urutan tradisional Melayu yang ditawarkan pihaknya. 

"Kita akan beri khidmat nasihat, taklimat dan mungkin ada sedikit demonstrasi berkaitan urutan tradisional yang kita tawarkan khususnya kepada wanita. 

"Kita juga akan menerangkan secara terperinci berkaitan penjagaan ibu selepas bersalin yang meliputi urutan mandi herba, bertungku dan sebagainya," kata beliau.

Sambutan Hari Wanita Antarabangsa Peringkat Negeri Perak 2019 Iktiraf Sumbangan Dan Peranan Wanita

YB Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Sosial, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Puan Wong May Ing ketika berucap pada sidang media berkaitan sambutan hari wanita yang bakal diadakan.

Sumber : Korporat, SUK Perak.