Malaysia Promosi Konsep Maqasid Syariah Kepada Masyarakat Luar : 21 Mac 2019

Malaysia Promosi Konsep Maqasid Syariah Kepada Masyarakat Luar

YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu menyampaikan cenderahati kepada YB Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Puan Hajjah Fuziah Binti Salleh.

IPOH, 21 MAC 2019 - Malaysia sedang mempromosikan konsep maqasid syariah, satu tataetika perilaku yang mengandungi konsep kasih sayang, etika dan nilai-nilai hidup.

YB Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),  Hajjah Fuziah Binti Salleh berkata, kerangka Maqasid Syariah adalah untuk melindungi lima matlamat sejagat, iaitu melindungi agama, melindungi kehidupan, melindungi minda dan daya berfikir, melindungi waris keturunan dan melindungi harta benda dan sumber-sumber.

"Maqasid Syariah bercakap mengenai penolakan kepada kemusnahan tetapi menggalakkan pembangunan konstruktif yang memberi manfaat kepada manusia," ujar beliau. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Town Hall Maqasid-Maqasid Syariah Based Governance Peringkat Negeri Perak.

Hadir sama YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu, YB Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan, Tuan Haji Asmuni Bin Awi, YB Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Industri dan Pembangunan Wilayah, Dato' Seri Ir Haji Mohammad Nizar Bin Jamaluddin dan YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Abu Bakar Bin Haji Said. 

Terdahulu, lebih 500 individu terdiri di kalangan penjawat awam dan orang awam menyertai program tersebut yang berlangsung setiap tahun. 

Selain itu, Beliau berkata Malaysia juga sedang mempromosikan konsep itu di peringkat antarabangsa, dan menambah setiap kementerian akan menyerapkan konsep tersebut dalam pentadbiran mereka.

"Malaysia adalah sebuah negara Islam, kami berharap model Malaysia ini akan dapat diperkenalkan di peringkat antarabangsa.

"Kami juga berharap dunia akan memandang kepada Malaysia sebagai model ikutan dalam segenap lapangan kehidupan dan tadbir urus," kata beliau.

Malaysia Promosi Konsep Maqasid Syariah Kepada Masyarakat Luar

Antara tetamu kehormat yang hadir dalam program berkenaan.
Malaysia Promosi Konsep Maqasid Syariah Kepada Masyarakat Luar YB Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Hajjah Fuziah Binti Salleh ketika menyampaikan ucapannya dalam program tersebut.
Malaysia Promosi Konsep Maqasid Syariah Kepada Masyarakat Luar Para peserta terdiri dikalangan penjawat awam dan orang awam yang hadir dalam program tersebut.

Sumber : Korporat, SUK Perak.