Penduduk Jangan Panik, Kandungan Arsenik Sungai Rui Rendah : 10 April 2019

Penduduk Jangan Panik, Kandungan Arsenik Sungai Rui Rendah

YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu ketika sesi sidang media khas di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

IPOH, 10 APRIL 2019 - Orang ramai khususnya di Gerik diminta tidak panik dengan laporan pencemaran Sungai Rui yang didakwa mengandungi arsenik, sejenis logam berat kerana ia pada paras yang rendah.

YAB Menteri Besar Perak Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu berkata, ujian ke atas sampel air yang diambil dari Loji Air Ganda (LRA) Air Ganda di Gerik menunjukkan paras arsenik kurang daripada 0.01 miligram iaitu rendah daripada piawaian ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

"Ini bermakna, air terawat yang dibekalkan oleh Lembaga Air Perak (LAP) kepada penduduk di situ adalah selamat untuk digunakan.

"LRA Air Ganda yang terletak di Sungai Perak membekalkan air sebanyak 0.50 juta liter sehari untuk kegunaan seramai 1,000 orang penduduk Kampung Air Ganda, Gerik," katanya dalam satu sidang media khas di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Hadir sama YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Tuan Haji Zainal Azman Bin Abu Seman.

Mengulas lanjut, beliau berkata, berdasarkan kajian, arsenik secara semulajadi wujud dalam tanah di daerah Hulu Perak dan peningkatan bahan kimia itu dalam air sungai berkemungkinan berpunca daripada aktiviti penerokaan tanah.

"Terdapat aktiviti 2,000 pendulang berlesen dan aktiviti pendulang haram di Sungai Pahit yang mana tindakan mereka menjalankan aktiviti mencuci bijih timah menggunakan bahan kimia turut menyumbang kepada pencemaran Sungai Hitam yang bersambung dengan Sungai Rui," kata beliau.

Selain itu beliau turut menegaskan kerajaan negeri juga membekukan semua aktiviti pembalakan di Hulu Perak dan sepanjang Sungai Rui sehingga laporan konklusif hasil daripada semua kajian ke atas sungai tersebut diperoleh.

"Kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk menghentikan mana-mana aktiviti ekonomi yang menyumbang secara terus kepada pencemaran alam sekitar di negeri Perak khususnya di sepanjang Sungai Rui.

"Bagaimanapun, ia perlu dilakukan dengan cermat dan penuh tanggungjawab supaya tidak menimbulkan keresahan dan keadaan panik dalam kalangan rakyat," katanya sambil menambah pembekuan aktiviti pembalakkan menyebabkan kerajaan negeri hilang sumber pendapatan kira-kira RM30 juta setahun. 

Selain itu, beliau berkata, ketika ini kurang daripada 20 orang penduduk Kampung Air Ganda dikesan mempunyai tanda serta gejala penyakit kulit selain ke semua mereka telah menjalani rawatan dibawah Jabatan Kesihatan negeri.

Bagaimanapun, kata beliau, jabatan tersebut merumuskan hasil kajian termasuk pemerhatian dan pemeriksaan fizikal ke atas penduduk masih awal dan belum dapat dipastikan sama ada ia disebabkan arsenik atau sebaliknya.

YAB Menteri Besar Perak itu turut berkata, sampel rambut daripada 300 penduduk di kampung tersebut juga telah diambil untuk dianalisis oleh Institut Kajian Perubatan Malaysia (IMR) bagi mengenal pasti punca penyakit kulit dan keputusannya dijangka diketahui selewat-lewatnya pada Jun ini.

Tambah beliau, satu Jawatankuasa Khas telah ditubuhkan sebagai langkah proaktif kerajaan negeri memelihara kepentingan rakyat walaupun proses mendapatkan pengesahan berhubung sumber pencemaran Sungai Rui masih dijalankan.

Memandangkan pencemaran ini melibatkan risiko keselamatan awam, pihak kerajaan negeri telah bersetuju supaya semua tindakan yang dijalankan oleh jawatankuasa ini diletakkan di bawah Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri, ujar beliau.

Penduduk Jangan Panik, Kandungan Arsenik Sungai Rui Rendah

YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu ketika menjawap persoalan yang diajukan oleh wartawan.
Penduduk Jangan Panik, Kandungan Arsenik Sungai Rui Rendah YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu ketika menyampaikan ucapan pada sidang media khas yang diadakan di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Sumber : Korporat, SUK Perak.