Mesyuarat Pertama Penggal Kedua, Dewan Negeri Yang Ke-14 Perak Darul Ridzuan Akan Bermula 16 April 2019 Hingga 23 April 2019 : 9 April 2019

Mesyuarat Pertama Penggal Kedua, Dewan Negeri Yang Ke-14 Perak Darul Ridzuan Akan Bermula 16 April 2019 Hingga 23 April 2019

YB Speaker DUN, Dato' Ngeh Koo Ham ketika ditemui pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

IPOH, 9 APRIL 2019 - Mesyuarat Pertama Penggal Kedua, Dewan Negeri Yang ke-14 Perak Darul Ridzuan Persidangan akan diadakan selama enam hari bermula 16 April hingga 23 April ini.

YB Speaker DUN Perak, Dato' Ngeh Koo Ham berkata, persidangan DUN dilaksanakan bertujuan bagi membentangkan belanjawan dan pembangunan negeri.

“Selain belanjawan negeri, terdapat lain-lain agenda, enakmen yang hendak diluluskan dan usul-usul yang akan dibawa pada persidangan tersebut," ujar beliau pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Tambah beliau, persidangan atau takwim untuk seluruh tahun ini  juga telah ditetapkan supaya ke semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dapat merancang jadual mereka sepanjang tahun.

“Pada tahun ini, mesyuarat pertama akan bermula pada  16 hingga 23 April, 23 hingga 30 Julai untuk mesyuarat kedua dan 12 hingga 20 November 2019 bagi mesyuarat ketiga,” kata beliau.

Menurut beliau, masa akan ditambah untuk memastikan setiap ADUN menggunakan masa dengan baik semasa sesi soal jawab serta bagi melancarkan proses persidangan.

“Lapan minit telah ditetapkan kepada setiap Exco untuk sesi soal jawab, jika dibandingkan di Parlimen, mereka hanya diberikan 6 minit dan ini bertujuan untuk memperjelaskan lagi tentang isu yang dibangkitkan,” kata beliau.

Selain itu, beliau berkata, DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah turut berkenan merasmikan Istiadat Pembukaan Dewan Undangan Negeri pada 16 April nanti.

Kata beliau, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab akan ditutup pada jam 8 hingga 10 pagi bagi memberi laluan kepada istiadat tersebut.

"Orang ramai dinasihatkan agar menggunakan jalan alternatif yang lain bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas," ujar beliau.

Mesyuarat Pertama Penggal Kedua, Dewan Negeri Yang Ke-14 Perak Darul Ridzuan Akan Bermula 16 April 2019 Hingga 23 April 2019

Antara media yang hadir pada sidang media yang dipengerusikan oleh YB Speaker DUN, Dato' Ngeh Koo Ham.
Mesyuarat Pertama Penggal Kedua, Dewan Negeri Yang Ke-14 Perak Darul Ridzuan Akan Bermula 16 April 2019 Hingga 23 April 2019 YB Speaker DUN, Dato' Ngeh Koo Ham menyampaikan pas media kepada wakil NTV7.
Mesyuarat Pertama Penggal Kedua, Dewan Negeri Yang Ke-14 Perak Darul Ridzuan Akan Bermula 16 April 2019 Hingga 23 April 2019 YB Speaker DUN, Dato' Ngeh Koo Ham menyampaikan pas media kepada wakil daripada Bernama.

Sumber : Korporat, SUK Perak.