Muhammad Hakimi, Sin Li Jane Dipilih Olahragawan Dan Olahragawati Perak : 30 April 2019

Muhammad Hakimi, Sin Li Jane Dipilih Olahragawan Dan Olahragawati Perak

Atlet lompat kijang, Muhammad Hakimi Bin Ismail dan atlet tenpin boling, Sin Li Jane dinobatkan selaku olahragawan dan olahragwati Perak bagi sesi 2019.

IPOH, 30 APRIL 2019 - Atlet lompat kijang negara Muhammad Hakimi Bin Ismail, dan atlet tenpin boling negara Sin Li Jane masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Perak 2017/2018.

Dengan anugerah itu, masing-masing menerima piala pusingan, trofi, blazer dan wang tunai RM7,000.

Anugerah disampaikan DYMM Paduka Seri Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Majlis Anugerah Sukan Perak di Pusat Konvensyen Casuarina, Meru di sini malam ini.

Turut berangkat pada majlis itu, DYMM Raja Permaisuri PERAK, Tuanku Zara Salim.

Hadir sama YB Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan, Belia dan Sukan negeri, Tuan Howard Lee Chuan How dan YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Tuan Haji Zainal Azman Bin Abu Seman.

Muhammad Hakimi memenangi pingat emas pada Sukan Sea 2017, manakala Sin Li memenangi tiga emas dan satu perak pada Sukan Sea 2017.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Muhammad Hakimi berkata, beliau tidak menjangka akan dinobatkan sebagai olahragawan buat kali kedua, selepas menerima anugerah tersebut tahun lepas.

“Saya sememangnya berlatih bersungguh-sungguh untuk mengekalkan kejayaan, selain mendapat sokongan yang baik dari keluarga dan jurulatih untuk berada pada tahap sekarang ini,” katanya yang mensasarkan untuk menyertai Sukan Olimpik 2020.

Sin Li pula berkata anugerah olahragawan yang diterima buat kali kelima itu, adalah pembakar semangat untuk beliau melakukan yang terbaik pada masa akan datang.

“Untuk mencapai kejayaan yang sekarang ini bukan mudah, dan bukan perkara yang singkat. Kita kena berusaha dengan gigih termasuklah melakukan latihan serta menjaga pemakanan,” kata beliau yang sebelum ini menerima anugerah olahragawan pada 2007/2008,2009/2010,2011/2012 dan 2013/2014.

Pada majlis itu, Loo Jie Ren pula dinobatkan sebagai Olahragawan Harapan, manakala Nor Nabila Natasha Mohd Nazri dipilih sebagai Olahragawati Harapan.

Bagi Anugerah jurulatih, ia diterima oleh jurulatih menembak Alais Neek Sulong, manakala Anugerah Jasamu Dikenang diberikan kepada Sufian Bin Abu Bakar bagi sukan menembak.

Anugerah Pasukan Terbaik pula dimenangi pasukan bola sepak Perak yang mana pencapaian mereka antaranya Juara Piala Malaysia dan naib juara Liga Super Malaysia.

Sementara itu, Anugerah Kepimpinan Sukan dimenangi S.R. Chandran yang juga Presiden Persatuan Olahraga di daerah Kuala Kangsar, manakala Anugerah Keluarga Sukan dimenangi Mohd Nazri Bin Seman yang merupakan jurulatih pasukan perahu layar negeri Perak.

Anugerah media pula dianugerahkan kepada RTM Perak, Jabatan Penerangan Perak, Bahagian Korporat Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Berita Harian/NST/Harian Metro, Utusan, Kosmo, China Press, Oriental Daily, Tamil Nesan, Sinar Harian, Astro Awani/Suara Perak dan Perak Today.

Muhammad Hakimi, Sin Li Jane Dipilih Olahragawan Dan Olahragawati Perak YB Setiausaha Kerajaan Negeri Tuan Haji Zainal Azman Bin Abu Seman menyampaikan Anugerah Keluarga Sukan kepada jurulatih perahu layar Perak,Mohd Nazri Bin Seman.
Muhammad Hakimi, Sin Li Jane Dipilih Olahragawan Dan Olahragawati Perak DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan beramah mesra dengan salah seorang peserta cilik yang turut serta dalam majlis tersebut.
Muhammad Hakimi, Sin Li Jane Dipilih Olahragawan Dan Olahragawati Perak DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersama olahragawan dan olahragawati Perak bagi sesi 2019.
Muhammad Hakimi, Sin Li Jane Dipilih Olahragawan Dan Olahragawati Perak YB Setiausaha Kerajaan Negeri Tuan Haji Zainal Azman Bin Abu Seman menyampaikan hadiah kepada olahragawan dan olahragawati Perak.
Muhammad Hakimi, Sin Li Jane Dipilih Olahragawan Dan Olahragawati Perak YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Tuan Haji Zainal Azman Bin Abu Seman menyampaikan Anugerah Media kepada Bahagian Korporat SUK Perak.

Sumber : Korporat, SUK Perak.