Menteri Besar Perak Sempurnakan Pelancaran Kedai Bergerak 1 Amanjaya - 19 Mac 2014

Lenggong, 19 Mac 2014 - Kerajaan Negeri Perak telah melancarkan sebuah projek komuniti iaitu Kedai Bergerak 1 Amanjaya (KB1AJ) bagi membantu rakyat di pedalaman dan luar bandar bagi mendapatkan barang keperluan asas pada harga yang lebih rendah dan berpatutan.

KB1AJ telah dilancarkan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr Zambry bin Abd Kadir di Dataran Tasek Raban, Lenggong Perak.

Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) dipilih untuk melaksanakan KB1AJ ini dengan menggunakan beberapa buah lori yang diubahsuai sebagai kedai bergerak.

YB Pengerusi Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR), Dato’ Saarani bin Mohamad, dalam ucapannya memberitahu cetusan idea KB1AJ ini datang daripada YAB Dato’ Seri DiRaja Dr Zambry bin Abd Kadir yang mahu memperluaskan lagi idea konsep Kedai Rakyat 1 Malaysia yang telah diilhamkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia.

Dalam ucapan beliau lagi, YB Dato’ Saarani bin Mohamad berkata KB1AJ tidak bermaksud bersaing dengan Kedai Rakyat 1 Malaysia (KR1M) sebaliknya konsep KR1M diperluaskan konsep penyampainya kerana geografi negeri Perak yang luas dan tidak mahu rakyat yang tinggal di pedalaman ketinggalan untuk bersama mendapat faedah dari KR1M.

Menurut YB Dato’ Saarani bin Mohamad, tapak yang dikenal pasti bagi KB1AJ ialah kawasan pasar malam, pasar pagi, pasar tani, padang, perkarangan masjid, dewan orang ramai dan tapak-tapak lain yang akan dikenal pasti dari semasa ke semasa. Menurut beliau lagi, setakat ini KB1AJ akan bergerak ke empat zon yang meliputi 36 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh kawasan pedalaman Perak.

Antara barang-barang yang terdapat di KB1AJ ialah beras, minyak masak, gula, tepung gandum, sardin, susu pekat manis, susu krim, kicap lemak manis, minuman coklat, kopi , serbuk the, sos cili, bihun, biskut, biskut potong gula, biskut potong majerin, jem roti buah-buahan, bawang besar, bawang merah, bawang putih, cili kering, dan ubi kentang.

Turut hadir menyaksikan pelancaran KB1AJ ialah, YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Abd Puhat bin Mat Nayan; YB Penasihat Undang-undang Negeri, Pn. Rohana binti Abd Malik; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji Mohd Gazali bin Jalal dan barisan EXCO Kerajaan Negeri.

Lori yang telah diubah suai sebagai Kedai Bergerak 1 Amanjaya
Pengunjung bertuah wanita terpilih yang diberi peluang memberi barangan runcit daripada YAB Menteri Besar Perak di KB1AJ
YAB Dato' Seri DiRaja Dr Zambry Abd Kadir menyempurnakan Pelancaran Kedai Bergerak 1 Amanjaya.
YAB Dato' Seri DiRaja Dr. Zambry bin Abd Kadir bersama dif-dif kehormat berdiri menyanyikan lagu Negaraku di awal majlis.
YAB Dato' Seri DiRaja menyampaikan sumbangan berupa barangan runcit kepada ketua kampung sambil diperhatikan YB Dato' Saarani bin Mohamad.
YAB Menteri Besar Perak beramah mesra bersama pengunjung yang hadir ke Majlis Pelancaran KB1AJ di Lenggong Perak.

Sumber: Korporat, SUK Perak.