Penjenamaan Semula Digital Perak Untuk Mengupayakan Syarikat GLC : 16 Mei 2019

Penjenamaan Semula Digital Perak Untuk Mengupayakan Syarikat GLC

YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu ketika berucap pada majlis berkenaan.

IPOH, 16 MEI 2019 - Penjenamaan semula Digital Perak Corporation Holdings (DigitalPerak) hari ini yang sebelum ini dikenali sebagai KPerak Implementation and Coordination Corporation merupakan antara langkah untuk kembali mengupayakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri ini.

YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu berharap DigitalPerak yang diamanahkan untuk memacu pembangunan industri teknologi maklumat dan komunikasi dan digital di negeri ini dapat melonjakkan semula kedudukannya bagi menjana kekayaan negeri dan rakyat.

”Insya-Allah, dengan diketuai seorang pakar dalam pengurusan perubahan dan pertumbuhan iaitu Prof Madya Dr Mohammad Tazli Bin Azizan selaku Ketua Pegawai Eksekutif, selain disokong warga kerja berpengalaman dan memberi sokongan, syarikat ini mampu untuk kembali ke landasan sebenar,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum merasmikan Digital Perak Corporation Holdings yang turut dihadiri YB Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak, Tuan Hasnul Zulkarnain Bin Abd Munaim di Perak Techno Trade Center (PTTC) di sini, hari ini.

Sementara itu, Prof Madya Dr Mohammad Tazli Bin Azizan berkata, syarikat itu komited untuk merealisasikan visi membawa Perak sebagai negeri pintar menjelang 2030 melalui inisiatif digital yang sesuai dan relevan.

“Mengambil cabaran dunia digital yang sentiasa berubah, syarikat berpandangan perlunya sentiasa peka terhadap aliran dan perubahan yang berlaku serta membuat jangkaan tepat untuk kekal relevan dalam revolusi digital ini.

“DigitalPerak perlu berhati-hati dan tidak boleh secara sembarangan memutuskan projek-projek yang dilaksanakan agar tidak terkandas dalam perjalanannya untuk muncul sebagai hab digital yang memacu pembangunan negeri ke tahap lebih baik,” kata beliau. 

Pada majlis itu, YAB Menteri Besar Perak Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman antara DigitalPerak dengan lapan rakan kongsi sebagai usaha kerjasama dalam merancakkan penggunaan teknologi dan memperkasakan usahawan digital.

Rakan kongsi itu ialah CyberSecurity Malaysia, Quest International University Perak, Cynerve Sdn Bhd, Direct Consulting & Services Sdn Bhd, Talenta Ideas Sdn Bhd, Creative House of Rhyme Production, Thissign Production dan Colorbar Media Production.

Penjenamaan Semula Digital Perak Untuk Mengupayakan Syarikat GLC YB Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak, Tuan Hasnul Zulkarnain Bin Abd Munaim ketika berucap pada program yang berlangsung.
Penjenamaan Semula Digital Perak Untuk Mengupayakan Syarikat GLC YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu merasmikan Digital Perak Corporation Holdings.
Penjenamaan Semula Digital Perak Untuk Mengupayakan Syarikat GLC YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu ketika hadir pada program yang berlangsung.
Penjenamaan Semula Digital Perak Untuk Mengupayakan Syarikat GLC Ketua Pegawai Eksekutif Digital Perak menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang peserta yang terlibat dalam program itu.
Penjenamaan Semula Digital Perak Untuk Mengupayakan Syarikat GLC YAB Menteri Besar Perak bersama pihak yang terlibat dalam program yang berlangsung.

Sumber : Korporat, SUK Perak.