YAB Perdana Menteri Hadir Ke Majlis Townhall Bersama Penjawat Awam Negeri Perak : 5 Mei 2019

YAB Perdana Menteri Hadir Ke Majlis Townhall Bersama Penjawat Awam Negeri Perak

YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak menyampaikan cenderahati kepada YAB Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Bin Mohamad.

IPOH, 5 MEI 2019 - YAB Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Bin Mohamad menghadiri Majlis Townhall Bersama Penjawat Awam Negeri Perak di Kelab Golf Diraja Perak.

Turut hadir dalam majlis berkenaan adalah YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Tuan Haji Zainal Azman Bin Abu Seman dan barisan Exco Kerajaan Negeri Perak.

Dalam majlis tersebut juga seramai lebih 1500 penjawat awam diperingkat kementerian, jabatan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan badan berkanun negeri turut hadir bagi mendengar amanat yang disampaikan oleh YAB Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Bin Mohamad.

YAB Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Bin Mohamad dalam ucapannya menegaskan kerajaan sememangnya member penekanan dalam membasmi rasuah selain setiap penjawat awam perlu mematuhi dasar dan polisi yang telah digariskan.

Menurut beliau, sekiranya amalan rasuah masih berlaku, ia dibimbangi akan merencatkan pembangunan dan kemajuan sesebuah negara.

"Kerajaan tidak dapat melakukan apa-apa hanya boleh berbicara memutuskan undang-undang untuk kebaikan Negara sedangkan pelaksanaannya dilakukan anggota kerajaan sedia ada.

"Sebab itu kita mestilah bersama sanggup berkorban diri, menghalang rasuah untuk kebaikan diri dan nikmatnya nanti turun ke anak cucu kerana matlamat pembangunan menjadikan Malaysia sebagai Harimau Asia sekali lagi dapat dicapai dengan mudah," kata beliau.

Dalam perkembangan berkaitan,  beliau turut mengingatkan kepada semua bahawa kerajaan sememangnya perlu mengagihkan peluang dan kekayaan Negara secara adil tanpa mengira warna kulit, bangsa atau agama  bagi mengelak berlakunya huru-hara.

Tambah beliau, jika agihan itu tidak dilakukan dengan baik, Negara berkemungkinan tidak dapat dibangunkan secara holistic berikutan menghadapi tekanan serta rusuhan keganasan akibat rasa  tidak puas hati antara satu sama lain.

"Jika kita abaikan usaha agihkan kekayaan dan hasil Negara dengan baik, maka berlalulah perasaan tidak senang yang lama kelamaan akan mencetuskan huru-hara, bahkan lebih daripada itu.

"Sebab itu dalam semua usaha agihan kekayaan, peluang dalam Negara dan hasil dari pentadbiran yang tidak terlibat dengan rasuah perlu dirasai oleh semua," ujar beliau.

YAB Perdana Menteri Hadir Ke Majlis Townhall Bersama Penjawat Awam Negeri Perak YAB Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Bin Mohamad menyampaikan ucapan di majlis tersebut.
YAB Perdana Menteri Hadir Ke Majlis Townhall Bersama Penjawat Awam Negeri Perak YAB Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Bin Mohamad bersalaman dengan para tetamu yang hadir.
YAB Perdana Menteri Hadir Ke Majlis Townhall Bersama Penjawat Awam Negeri Perak YAB Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Bin Mohamad bergambar bersama tetamu yang hadir di majlis tersebut.

Sumber : Korporat, SUK Perak.