20,500 Kotak Makanan Diagih Kepada Pasukan Keselamatan Sempena Hari Raya Aidilfitri : 29 Mei 2019

20,500 Kotak Makanan Diagih Kepada Pasukan Keselamatan Sempena Hari Raya Aidilfitri

YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu ketika menyerahkan kotak makanan kepada Panglima 2 Briged, Brigadier Jeneral, Dato' Mohd Nizam Bin Jaafar dalam majlis yang berlangsung.

IPOH, 29 MEI 2019 - Sejumlah 20,500 kotak makanan juadah raya akan diagihkan kepada 22 pasukan keselamatan dan berpakaian seragam yang terpaksa bertugas dan berjauhan dengan keluarga pada sambutan Aidilfitri tahun ini.

YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu, berkata setiap kotak makanan berisi rendang tok, serunding, kuah kacang, beras dan kopi itu sebagai menghargai pengorbanan mereka yang perlu bertugas pada hari raya minggu depan.

Beliau berkata, urusan pembungkusan semua juadah berkenaan sebelum ini dilakukan 510 petugas daripada pelbagai agensi kerajaan berkaitan termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Amal Isteri Harapan Perak (KASIH), Persatuan Kaum Ibu Tentera (BAKAT), Puteri Islam dan Wanita Prihatin.

“Semua NGO ini berganding bahu untuk menyediakan kotak makanan ini dan perkara ini diadakan setiap tahun dan ia untuk menghargai jasa mereka yang terpaksa berkorban berjauhan dengan keluarga dan tidak dapat beraya bersama keluarga semata-mata bagi memberi perkhidmatan kepada rakyat di negeri ini,” ujar beliau.

Beliau bercakap pada sidang media selepas majlis penyerahan juadah Aidilfitri 2019 Kerajaan Perak Darul Ridzuan dan KASIH kepada pasukan berpakaian seragam di Dewan Bankuet.

Hadir sama, isterinya yang juga Pengerusi KASIH, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Bin Dato Mohammed Radzi; empat EXCO Kerajaan Negeri iaitu YB Tuan Haji Asmuni Bin Awi, YB Prof. DR. Abdul Aziz Bin Bari, YB Abdul Yunus Bin Jamahri dan YB Hasnul Zulkarnain Bin Abd Munaim; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Tuan Haji Zainal Azman Bin Abu Seman; Ketua Polis Perak, Dato’ Razarudin Bin Husain dan Panglima 2 Briged, Brigadier Jeneral Dato’ Mohd Nizam Bin Jaafar.

Antara pasukan menerima kotak makanan berkenaan ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Markas 2 Briged Tentera Darat, Pasukan Gerakan Am (PGA), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM), Pasukan 69 Komando PGA, Pasukan Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak.

20,500 Kotak Makanan Diagih Kepada Pasukan Keselamatan Sempena Hari Raya Aidilfitri YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu menyerahkan kotak makanan kepada Ketua Polis Perak, Dato' Razaruddin Bin Husain dalam majlis berkenaan.
20,500 Kotak Makanan Diagih Kepada Pasukan Keselamatan Sempena Hari Raya Aidilfitri YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu ketika melihat juadah yang disediakan dalam kotak makanan terbabit.
20,500 Kotak Makanan Diagih Kepada Pasukan Keselamatan Sempena Hari Raya Aidilfitri YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu bersama Persatuan Kaum Ibu Tentera (BAKAT) dalam majlis tersebut.
20,500 Kotak Makanan Diagih Kepada Pasukan Keselamatan Sempena Hari Raya Aidilfitri Isteri YAB Menteri Besar, Datin Dr Nomee Ashikin Binti Dato' Mohammed Radzi bersama PERKEP Perak dalam majlis penyerahan juadah Aidilfitri 2019 kerajaan negeri kepada pasukan berpakaian seragam.

Sumber : Korporat, SUK Perak.