Konsep Bandar Belia Malaysia Perlu Diperluas : 18 Jun 2019

Konsep Bandar Belia Malaysia Perlu Diperluas

YB Menteri Wilayah Persekutuan ketika menghadiri Sesi Taklimat Pembangunan BBM Tanjung Malim.

TANJUNG MALIM, 18 JUN 2019 - Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang berminat menyertai konsep perancangan bandar mesra belia di kawasan berpotensi untuk dibangunkan digalakkan mengemukakan permohonan kepada Kementerian Wilayah Persekutuan.

YB Menteri Wilayah Persekutuan, Tuan Haji Khalid Bin Abdul Samad berkata, pembangunan Bandar Belia Malaysia (BBM) Tanjung Malim yang lengkap dan memenuhi kehendak belia pada masa kini diharap menjadi penanda aras bagi perancangan bandar mesra belia di kawasan-kawasan lain pada masa depan.

"Setakat ini, antara projek perintis di kawasan lain yang sedang dibangunkan menerusi konsep ini ialah di Sabah (Tuaran), Sarawak (Lundu) dan Putrajaya," ujar beliau pada sidang media sempena lawatan Turun Padang ke Tapak Pembangunan BBM Tanjung Malim. 

Hadir sama YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Tuan Haji Zainal Azman Bin Abu Seman. 

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) berkata Majlis Daerah Simpang Renggam turut menyatakan hasrat membangunkan Bandar Renggam sebagai salah satu bandar mesra belia yang pertama di wilayah selatan.

"Mereka boleh memohon dan menyatakan minat serta mengikuti taklimat dan program yang Tanjung Malim dijadikan sebagai penanda aras kerana ia yang terawal," ujar beliau

Tambah beliau, BBM merupakan satu konsep mengatasi masalah di hadapi oleh negara termasuk penghijrahan golongan muda dari kawasan pinggir bandar dan luar bandar ke bandar.

Dalam pada itu, beliau turut mengadakan lawatan ke tapak projek Taman Rimba Bandar (Ujana Muallim) di Bandar Proton yang berkeluasan 15 hektar dan komponen-komponen BBM di sekitar Pusat Bandar Tanjung Malim.

Sementara itu, YBhg Ketua Pengarah Jabatan Landskap Negara, Puan Hajah Rotina Binti Mohd Daik berkata Ujana Muallim yang siap dibina pada April lepas dengan kos sebanyak RM9 juta merupakan sebahagian pembangunan Bandar Proton.

Beliau berkata, Ujana Muallim yang pada asalnya merupakan kawasan hutan sekunder turut dilengkapi kawasan perkhemahan, laluan 'jungle tracking', permainan kanak-kanak, menara tinjau, pondok pengawal, surau dan tandas.

Konsep Bandar Belia Malaysia Perlu Diperluas YB Menteri Wilayah Persekutuan, Tuan Haji Khalid Bin Abdul Samad bersama pelajar UPSI yang terlibat pada program yang berlangsung.
Konsep Bandar Belia Malaysia Perlu Diperluas YB Menteri Wilayah Persekutuan, Tuan Haji Khalid Bin Abdul Samad ketika sesi lawatan di Mural Art Installation dan Gerbang Seni.
Konsep Bandar Belia Malaysia Perlu Diperluas YB Menteri Wilayah Persekutuan, Tuan Haji Khalid Bin Abdul Samad dan YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Tuan Haji Zainal Azman Bin Abu Seman bersama ahli Majlis Daerah Muallim.
Konsep Bandar Belia Malaysia Perlu Diperluas YB Menteri Wilayah Persekutuan, Tuan Haji Khalid Bin Abdul Samad ketika melakukan sesi lawatan ke Ujana Muallim.
Konsep Bandar Belia Malaysia Perlu Diperluas YB Menteri Wilayah Persekutuan, Tuan Haji Khalid Bin Abdul Samad ketika melakukan sesi lawatan ke pameran di sarang Art Hub, tanjung Malim.

Sumber : Korporat, SUK Perak.