Keunikan Perak Mampu Gamit Kedatangan Pelancong : 29 Jun 2019

Keunikan Perak Mampu Gamit Kedatangan Pelancong

YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu ketika menyampaikan ucapan pada majlis yang berlangsung.

IPOH, 29 JUN 2019 - Sektor pelancongan di Perak dijangka terus berkembang kerana pelbagai keunikan yang ditawarkan mampu memikat pelancong termasuk dari luar negara untuk memilih bercuti di sini.

YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu berkata, ketika ini Perak menerima kehadiran kira-kira tujuh juta orang setahun dan angka ini turut menyumbang kepada ekonomi negeri.

Bagaimanapun beliau berkata, banyak lagi usaha perlu dilakukan termasuk menggiatkan promosi menerusi kerjasama strategik dengan pihak-pihak tertentu selain media massa.“

"Kita dapati ramai dalam kalangan pelancong domestik khususnya datang ke Ipoh untuk makan. Seperti diketahui Ipoh mempunyai pelbagai tempat-tempat makan menarik yang tiada di negeri lain.

Justeru kita perlu fikirkan cara bagaimana untuk membuatkan mereka ini bermalam di Ipoh seterusnya berbelanja di sini,” ujar beliau. 

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Makan Malam Kembara Media Perak 2019 anjuran Jabatan Penerangan di taman tema Lost World of Tambun. 

Turut hadir YB Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Tuan Tan Kar Hing.

Bertemakan ‘Moh Ke Perak’, program kembara selama empat ini disertai seramai 29 petugas media daripada pelbagai agensi.

Peserta akan dibawa melawat dan bermalam di beberapa tempat pelancongan menarik seperti ke Kuala Kangsar, Hutan Simpan Royal Belum, Taiping dan Kuala Sepetang.

Menurut beliau, fokus pihaknya ketika ini ialah untuk mempromosikan lokasi pelancongan di bandar Ipoh terlebih dahulu sesuai dengan statusnya sebagai gerbang masuk ke negeri ini.

“Kita meletakkan Ipoh sebagai destinasi utama kerana dari sini pengunjung boleh pergi ke daerah-daerah lain misalnya ke Teluk Intan, Lumut atau Gerik mengikut citarasa percutian masing-masing,” ujar beliau.

Keunikan Perak Mampu Gamit Kedatangan Pelancong YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu ketika hadir pada majlis yang berlangsung.
Keunikan Perak Mampu Gamit Kedatangan Pelancong YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu bersama wakil media kembara Media Perak dalam majlis berkenaan.
Keunikan Perak Mampu Gamit Kedatangan Pelancong YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu menerima cenderahati daripada salah seorang wakil kembara media Perak dalam majlis yang berlangsung.

Sumber : Korporat, SUK Perak.