Perdagangan Negeri Perak Cecah RM5 Bilion : 9 Julai 2019

Perdagangan Negeri Perak Cecah RM5 Bilion

YB Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato' Darell Leiking bersama YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Azumu ketika mempromosikan Perak International Expo.

IPOH, 9 JULAI 2019 - Perak mencatatkan jumlah perdagangan sebanyak RM5 bilion bermula Januari sehingga April tahun ini.

YB Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato' Darell Leiking berkata, jumlah itu mencatatkan peningkatan hampir empat peratus berbanding RM4.78 bilion yang direkod bagi tempoh sama pada tahun lalu.

"Nilai eksport dari Januari hingga April 2019 pula hampir RM1.83 bilion manakala nilai import adalah sebanyak RM3.18 bilion.

“Nilai import dan eksport ini masing-masing mencatatkan peningkatan hampir empat dan enam peratus berbanding tahun sama pada tahun lalu,” ujar beliau. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan. 

Hadir sama YB Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Industri dan Pembangunan Wilayah, Dato’ Seri Ir Haji Mohammad Nizar Bin Jamaluddin dan YB Setiausaha Kerajan Negeri, Tuan Haji Zainal Azman Bin Abu Seman.

Dalam pada itu, beliau turut memuji tindakan kerajaan negeri yang menubuhkan Jawatankuasa Khas Penyelesaian Setinggan Negeri Perak bagi membanteras masalah pencerobohan tanah secara haram.

Beliau berkata, melalui penubuhan jawatankuasa berkenaan, ia membantu memudahkan kemasukan pelabur termasuk menjalankan operasi perniagaan di sini.

“Inisiatif yang diambil oleh kerajaan negeri ini adalah suatu strategi dan cara yang baik untuk mengambil tindakan cepat bagi mengatasi permasalahan ini.

“Saya tahu perkara ini bukanlah suatu yang mudah kerana mereka (penceroboh) telah berada di kawasan berkenaan untuk bertahun- tahun lamanya, namun, undang-undang tetap harus dipatuhi,” kata beliau.

Perdagangan Negeri Perak Cecah RM5 Bilion

YB Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato' Darell Leiking dan YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu selepas tamat sesi Pra Mesyuarat antara kedua-dua pihak.
Perdagangan Negeri Perak Cecah RM5 Bilion Sesi lawatan pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri di Kilang Eadeco Sdn Bhd.
Perdagangan Negeri Perak Cecah RM5 Bilion YB Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato' Darell Leiking ketika mempengerusikan Pra-Mesyuarat antara kerajaan negeri dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Perdagangan Negeri Perak Cecah RM5 Bilion YB Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato' Darell Leiking ketika sesi lawatan di Kilang Eadeco Sdn Bhd.
Perdagangan Negeri Perak Cecah RM5 Bilion YB Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato' Darell Leiking ketika kunjungan hormat ke Pejabat YAB Menteri Besar Perak.

Sumber : Korporat, SUK Perak.