Usul Dewan Belia Perak Menjadi Input Dasar Kerajaan Negeri : 17 Ogos 2019

Usul Dewan Belia Perak Menjadi Input Dasar Kerajaan Negeri

Antara perwakilan yang berbahas semasa Sidang SUN Belia Negeri Perak.

IPOH, 17 OGOS 2019 - Usul-usul yang dibentang dan dibahas sepanjang Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua Dewan Belia Yang Kedua Perak Darul Ridzuan akan menjadi input kepada dasar kerajaan negeri.

YB Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan, Tuan Howard Lee Chuan How menyatakan kerajaan Negeri Perak sentiasa berfikir ke hadapan dalam pembangunan belia dan menitik berat pandangan anak muda.

“Justeru, pandangan golongan belia amat penting kepada kerajaan negeri dalam menyediakan persekitaran terbaik bagi belia menonjolkan potensi diri masing-masing”, kata beliau semasa ucapan perasmian bagi mewakili YAB Menteri Besar Perak Darul Ridzuan.

Persidangan pada kali ini bakal memperlihatkan beberapa penambahbaikan berbanding pelaksanaan persidangan sebelum ini di mana antaranya adalah undian pada kali ini dijalankan secara bertulis dan keputusan akan diisytiharkan oleh speaker tanpa menyatakan bilangan undi.

Tambah beliau, tatacara baru yang lain adalah ususl-usul yang diluluskan akan dibawa secara rasmi ke Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) seterusnya laporan tindakan usul akan menjadi laporan standard untuk dimaklumkan kepada semua ahli dewan belia.

Persidangan Dewan Belia Negeri Perak yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini akan membahaskan lima usul seperti berikut:

  1. Penubuhan Perak Volunteer Community (PAVI) Bagi Merancakkan Penglibatan dan Aktiviti Sukarelawan Belia Berstruktur Di Negeri Perak
  2. Perak Heritage Trail Wadah Pemeliharaan dan Pemuliharaan Tempat Bersejarah di Negeri Perak
  3. Pemeriksaan Aliran Vokasional Dalam Kalangan Pelajar Sekolah Menengah Di Negeri Perak
  4. Memperluas dan Memperkasa Perak Youth Hub Ke Setiap Daerah Di Negeri Perak
  5. Usaha Kerajaan Negeri Perak Menjadikan Negeri Mesra Alam Tanpa Beg Plastik
Usul Dewan Belia Perak Menjadi Input Dasar Kerajaan Negeri YB Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan, Tuan Howard Lee Chuan How berucap semasa Sidang DUN Belia Berlangsung.
Usul Dewan Belia Perak Menjadi Input Dasar Kerajaan Negeri Sidang DUN Belia yang diadakan pada 17 hingga 18 Ogos 2019.

Sumber : Korporat, SUK Perak.