DYMM Paduka Seri Sultan Perak Berkenan Rasmi Klinik Kesihatan Simpang : 19 Ogos 2019

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Berkenan Rasmi Klinik Kesihatan Simpang

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berucap merasmikan Majlis Perasmian Klinik Kesihatan Simpang.

TAIPING, 19 OGOS 2019 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Klinik Kesihatan Simpang, Taiping.

Turut berangkat DYMM Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim. Hadir sama barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak dan YB Menteri Kesihatan, Dato' Seri Dr Dzulkefly Bin Ahmad. 

Klinik Kesihatan Simpang seluas 60. 7 hektar yang terletak berhampiran bandar Taiping mula dibina pada 2012 dan beroperasi sepenuhnya pada 27 April 2015.

Kawasan operasi klinik itu merangkumi mukim Simpang yang mempunyai 43 taman perumahan dan lapan kampung dengan anggaran penduduk seramai 56,650 orang yang direkodkan setakat tahun lalu. 

Terdahulu, YB Dato' Seri Dr Dzulkefly Bin Ahmad dalam ucapannya berkata antara objektif pembinaan Klinik Kesihatan Simpang adalah untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan komprehensif dan holistik dengan pendekatan 'one stop centre' kepada masyarakat. 

"Perkhidmatan utama yang disediakan antaranya klinik pesakit luar, klinik ibu dan anak, perkhidmatan kecemasan dan klinik pergigian. Di samping itu, perkhidmatan sokongan seperti khidmat farmasi, makmal, radiologi, sains pemakanan dan rehabilitasi turut disediakan," kata beliau. 

Tambah beliau, Klinik Kesihatan Simpang melaksanakan konsep doktor keluarga di mana setiap individu dan keluarga mendapat rawatan yang berterusan daripada  pegawai perubatan serta ahli pasukan perubatan yang sama. 

"Dengan ini, pasukan pegawai perubatan dapat mengenali pesakit serta ahli keluarganya  dengan lebih dekat berkaitan isu kesihatan mereka seterusnya dapat membuat diagnosis penyakit yang tepat seterusnya memberikan rawatan yang sewajarnya," ujar beliau.

Selain itu, beliau berkata setakat ini tiada rungutan yang diterima berkaitan konsep doktor keluarga sekali gus membuktikan pesakit amat berpuas hati dengan perkhidmatan di klinik tersebut. 

Beliau juga berharap agar penduduk di sekitar kawasan Simpang dapat menggunakan kemudahan di Klinik Kesihatan itu dengan sebaik mungkin serta menghargai perkhidmatan yang diberikan oleh anggotanya. 

"Kepada semua anggota di Klinik Kesihatan Simpang pula saya berharap anda dapat memberikan perkhidmatan yang profesional, penyayang dan berkesan. Layanilah pelanggan dengan penuh prihatin, sabar dan sedia membantu," ujar beliau.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Berkenan Rasmi Klinik Kesihatan Simpang DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mendengar taklimat yang disampaikan berkaitan infrastruktur yang terdapat di Klinik Kesihatan Simpang.
DYMM Paduka Seri Sultan Perak Berkenan Rasmi Klinik Kesihatan Simpang Klinik Kesihatan Simpang Taiping.

Sumber : Korporat, SUK Perak.