Penjawat Awam Perlu Terapkan Elemen Perpaduan Dalam Diri Masing-Masing : 19 September 2019

Penjawat Awam Perlu Terapkan Elemen Perpaduan Dalam Diri Masing-Masing

Tuan Haji Zainal Azman Bin Abu Seman ketika menyampaikan ucapan sempena Perhimpunan Warga Bangunan Perak Darul Ridzuan.

IPOH, 19 SEPTEMBER 2019 - Perpaduan merupakan elemen terpenting yang perlu diterapkan dalam diri setiap penjawat awam negeri.

YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Tuan Haji Zainal Azman Bin Abu Seman berkata, tahap kesedaran yang tinggi melalui perpaduan akan membolehkan setiap penjawat awam mengekalkan keharmonian antara satu sama lain meskipun berbeza dari sudut bangsa dan agama.

"Saya berharap bahawa kita (penjawat awam) bersamalah dalam mengeratkan perpaduan. Melalui titah ucapan DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan YAB Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu juga elemen (perpaduan) ini turut ditekankan.

"Jika elemen ini diterapkan dalam diri setiap penjawat awam, saya yakin kita boleh bekerja secara harmoni tanpa mengira bangsa dan agama," ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Warga Bangunan Perak Darul Ridzuan di Dewan Bankuet.

Hadir sama YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Abu Bakar Bin Haji Said dan YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Rohana Binti Abd Malek.

Terdahulu, perhimpunan berkenaan turut dihadiri lebih 500 penjawat awam negeri daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan. 

Beliau berkata, pihaknya turut mengingatkan setiap penjawat awam supaya berhati-hati dan tidak menggunakan emosi dalam menyuarakan pendapat khususnya di media sosial berhubung sesuatu isu yang sensitif. 

"Kalau kita baca sesuatu perkara di media sosial itu, sila timbang betul-betul kerana kadang kala ada pihak yang cuba mengapi-apikan (perkauman) sesuatu isu. 

"Kita perlu bersabar, buat semakan dan sebagainya sebelum kita mengambil tindakan-tindakan yang mengikut emosi," kata beliau.

Penjawat Awam Perlu Terapkan Elemen Perpaduan Dalam Diri Masing-Masing YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak diiringi oleh Timbalan Pendakwa Raya setelah selesai majlis tersebut.
Penjawat Awam Perlu Terapkan Elemen Perpaduan Dalam Diri Masing-Masing Antara kakitangan Bangunan Perak Darul Ridzuan yang hadir ke majlis tersebut.
Penjawat Awam Perlu Terapkan Elemen Perpaduan Dalam Diri Masing-Masing Antara kakitangan Bangunan Perak Darul Ridzuan yang hadir ke majlis Perhimpunan Warga Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Sumber : Korporat, SUK Perak.