Program Agrofest Perak 2019 Sasar Nilai Jualan RM5 Juta : 19 September 2019

Program Agrofest Perak 2019 Sasar Nilai Jualan RM5 Juta

Sidang Akhbar Agrofest Perak 2019.

IPOH, 19 SEPTEMBER 2019 - Kerajaan negeri menyasarkan sebanyak RM5 juta nilai jualan sempena Program Agrofest Perak 2019 yang akan berlangsung pada 26 hingga 29 September di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng.

YB Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Negeri Tuan Abdul Yunus Bin Jamhari berkata, jumlah sasaran nilai jualan itu dianggap realistik memandangkan ia akan melibatkan 130 gerai pameran yang melibatkan usahawan tempatan, agensi dan jabatan kerajaan. 

"Kalau pada 2017, nilai jualan untuk program ini adalah sebanyak RM3.8 juta dan kali ini kita rasa jumlah itu akan meningkat kepada RM5 juta atau lebih.

"Kita anggap ia realistik dengan sasaran pengunjung seramai 500,000 selain pelbagai gerai pameran yang dibuka kepada orang ramai meliputi Industri Asas Tani (IAT), jualan terus daripada ladang, florikultur, foodtrucks dan lain-lain," kata beliau ketika sesi sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan. 

Beliau berkata, pada program kali ini pihak penganjur juga akan membuka tujuh laman pameran kepada orang ramai melibatkan kluster pertanian, penternakan, perikanan, teknologi dan inovasi, kraftangan, agrotourism serta jabatan kerajaan. 

"Setiap tujuh kluster ini akan ada aktiviti dan program masing-masing sepanjang program berlangsung. Pengunjung juga akan mengetahui dengan lebih dekat berkaitan peranan setiap kluster ini," kata beliau. 

Beliau berkata, antara kelainan ditampilkan pada program kali ini adalah segmen 'empayar makanan' yang bakal menghimpunkan pelbagai makanan popular di seluruh Negeri Perak. 

"Ia sepertimana yang ditampilkan pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA 2018) dan kita bawa pertama kali konsep ini ke dalam Agrofest Perak," kata beliau. 

Selain itu, beliau berkata, pihaknya akan menyampaikan anugerah bagi 13 kategori yang telah dipertandingkan sebagai tanda penghargaan kepada warga pertanian di Perak. 

"Antara kategori itu adalah Peladang Jaya, Peladang Nita Jaya, Nelayan Jaya, Penternak Jaya, Usahawan Ikan Jaya, Agroprenuer Muda Jaya, Unit Peladang Jaya, Kumpulan Tani Komersial Jaya, Pertubuhan Peladang Kawasan Jaya, Persatuan Nelayan Kawasan Jaya, Anugerah Inovasi Pertanian dan Industri Asas Tani Jaya, Anugerah Pemasar Tani Jaya, Kelompok Padang Ragut," ujar beliau.

Program Agrofest Perak 2019 Sasar Nilai Jualan RM5 Juta Program Agrofest Perak 2019 yang akan berlangsung pada 26 hingga 29 September di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng.
Program Agrofest Perak 2019 Sasar Nilai Jualan RM5 Juta YB Tuan Abdul Yunus Bin Jamhari ketika sidang akhbar Program Agrofest 2019 yang bakal berlangsung pada 26 hingga 29 September 2019.

Sumber : Korporat, SUK Perak.